18 November 2008

81 Peneroka Tanah Dakwa Pegawai Tadbir Kedah Rampas Tanah Mereka

ALOR STAR, 17 Nov (Bernama) -- Seramai 81 penduduk kampung membuat aduan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) mendakwa tanah kerajaan seluas kira-kira 278.63 ekar di Padang Terap yang mereka usahakan lebih 20 tahun lepas dirampas dan diberi hak milik kepada sekumpulan pegawai kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Mangsa Rampasan Tanah itu, Jafree Don berkata aduan tersebut dibuat di ibu pejabat BPR di Putrajaya tidak lama dulu.

"Fail kes itu baru dirujuk kepada BPR Kedah untuk siasatan," katanya kepada pemberita yang hadir bersama 20 orang pengusaha terbabit untuk memberi kenyataan di pejabat BPR Kedah di sini, Isnin.

Menurut Jafree tanah yang dirampas oleh pegawai KCS itu ialah di Ban Lok Koi, Padang Wat dan Sungai Sari ditanam dengan getah dan buah-buahan.

Katanya kesemua pengusaha terbabit juga telah membayar di Pejabat Tanah Padang Terap di Kuala Nerang wang proses sebanyak RM50 pada 2003 sebagai syarat untuk memohonan surat hak milik.

Pengusaha terbabit hanya mengetahui tanah tersebut diberi hak milik kepada pihak lain April lepas.

-- BERNAMA

No comments: