18 November 2008

Majlis Perbandaran Seberang Prai hampir muflis

Berita Harian

GEORGETOWN: Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP), satu daripada dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang, hampir bankrap kerana keadaan kewangannya yang tenat.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkata kedudukan kewangan MPSP membimbangkan kerana baki Kumpulan Wang Majlis mengalami penyusutan drastik kepada RM6.45 juta tahun ini berbanding RM225.02 juta pada 2000.

“MPSP hampir bankrap dan ini satu perkara yang serius," katanya pada sidang media di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Pada 2000, baki Kumpulan Wang MPSP ialah RM225.02 juta dan selepas itu bakinya terus mengalami penyusutan kepada RM196.26 juta pada 2001, RM160.41 juta (2002), RM130.52 juta (2003), RM89.23 juta (2004), RM33.79 juta (2005), RM32.37 juta (2006), RM25.99 juta (2007) dan RM6.45 juta pada tahun ini.

Bagi Bajet 2009, MPSP menyediakan bajet defisit apabila peruntukan perbelanjaan berjumlah RM160 juta berbanding hasil yang dianggarkan RM145 juta.

Satu lagi PBT di negeri ini, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) membentangkan bajet berimbang bagi 2009 dengan peruntukan sebanyak RM221.84 juta.

Ketika membentangkan bajet negeri 2009 Jumaat lalu, Guan Eng berkata, kedudukan kewangan MPSP agak genting sehingga bajet PBT itu bagi 2009 tidak dapat memperuntukkan wang bagi pembangunan.

Berikutan itu, kerajaan negeri akan mencari jalan untuk menanganinya dan mengambil tindakan tegas ke atas punca ketirisan akibat daripada pentadbiran yang boros, menyalahi prosedur dan tidak berkepentingan awam.

Lim juga mahu bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas, Penerangan dan Perhubungan Masyarakat negeri, Datuk Dr Teng Hock Nan, memberi penjelasan mengenainya.

“Sebagai Exco yang bertanggungjawab terhadap MPSP, beliau patut tahu apa yang berlaku dan tindakan diambil untuk mengatasi masalah itu,” katanya sambil menambah masalah itu bukan berlaku setahun dua.

Sambil menyifatkan penyusutan Kumpulan Wang Majlis lebih RM200 juta sebagai sesuatu yang serius, Ketua Menteri mendakwa ia adalah angkara Barisan Nasional (BN).

Mengenai kenyataan Dr Teng supaya kerajaan negeri meneruskan pentadbiran bukannya menumpukan kepada sesuatu tidak perlu, Lim berkata: “Keadaan itu menjejaskan pentadbiran.”

No comments: