Cuepacs tidak ganjak pendirian boikot PTK
Berita Harian
KUALA LUMPUR: Cuepacs yang tetap dengan pendiriannya untuk memboikot peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) kini meminta kerajaan mengecualikannya kepada kakitangan awam yang sudah berkhidmat lebih 20 tahun.
Presidennya, Omar Osman, berkata tindakan memboikot PTK bukan keputusan individu tetapi diputuskan Majlis Kongres Cuepacs yang diwakili 120 gabungan di bawahnya, minggu lalu.
Beliau mendakwa, selain kumpulan sokongan, pengurusan tertinggi, ketua jabatan dan ketua bahagian juga menulis surat kepada kesatuan menyatakan masalah mereka berhubung PTK.
"Kita bukan mengugut kerajaan tetapi menyampaikan rintihan pekerja. Mengapa perlu kenaikan pangkat dinilai melalui PTK. Itu sebab Cuepacs mahu ia dimansuhkan.
"Sebagai contoh, seseorang kakitangan awam itu bekerja hampir 30 tahun dan ini tidak bermakna dia tidak cekap bekerja apabila gagal dalam PTK.
"Kesatuan juga mendapat tahu mereka yang sudah lulus PTK masih belum mendapat kenaikan pangkat," katanya, semalam.
Semalam, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam meminta Cuepacs memikirkan semula keputusan awal mereka memboikot PTK kerana tindakan itu menjejaskan peluang kenaikan pangkat dan masa depan kakitangan sektor awam.
Sabtu lalu, Cuepacs mengancam untuk memboikot PTK jika kerajaan tidak memansuhkannya mulai tahun depan kerana mendakwa peperiksaan itu banyak memberi tekanan kepada anggota sektor awam.
Sehubungan itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Ismail Adam berkata kerajaan tidak akan memansuhkan peperiksaan itu dan meminta Cuepacs berhenti mengugut kerajaan berhubung isu PTK.
Osman berkata, kebanyakan kakitangan awam yang sudah berkhidmat melebihi 20 tahun berumur 40 tahun ke atas dan tidak wajar untuk mereka bersaing dengan golongan muda dalam menduduki peperiksaan PTK.
"Ini sungguh tidak adil, maka sebab itu kita membuat keputusan memboikot PTK... bukannya ugut kerajaan... beza antara ugut dan boikot," katanya
No comments:
Post a Comment