26 October 2008

Kaji semula sistem gaji kastam

Utusan Online

JOHOR BAHRU 21 Okt. - Kesatuan Pegawai-pegawai Kastam Semenanjung Malaysia (KPPKSM) meminta Kementerian Kewangan mengkaji semula pelaksanaan sistem gaji mereka melalui Skim Pegawai Kastam yang diletakkan di bawah Gred W17.

Yang Dipertua KPPKSM, Ibrahim Ahmad berkata, kajian semula itu perlu supaya kenaikan yang diberikan bersesuaian dengan tugas yang dilaksanakan oleh pegawai kastam terbabit.

"Berbanding pegawai kerajaan yang lain, pegawai kastam merupakan anggota paling lambat dinaikkan pangkat, apatah lagi merasa kenaikan gaji.

''Malah, pegawai kastam yang bekerja secara giliran 24 jam sehari juga tidak dibayar Elaun Tugas Giliran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan KPPKSM Kali Ke-XVII Sesi 2008-2010, di sini hari ini.

Ibrahim berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan pada 25 Ogos lalu bagi membincangkan perkara tersebut.

Dalam pertemuan tersebut, Mohd. Sidek berjanji kenaikan pangkat pegawai kastam secara Khas Untuk Penyandang (KUP) bagaimanapun sehingga kini ia masih belum dilaksanakan.

Pihaknya turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pada 25 September 2006 bagi membincangkan permintaan yang sama tetapi masih tidak berhasil.

1 comment:

Anonymous said...

selamat sejahtera...
saya amat setuju dengan perkara di atas..