28 July 2008

Sistem kenaikan pangkat PDRM guna kaedah kursus

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Sistem kenaikan pangkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diubah daripada kaedah temuduga kepada kursus bagi menentukan ia dibuat berdasarkan prestasi keseluruhan dan mereka yang benar-benar layak, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Beliau berkata kertas cadangan bagi mengubah sistem kenaikan pangkat itu telah dihantar kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada akhir tahun lalu dan PDRM sedang menunggu kelulusan JPA.

“Kita akan wujudkan kursus kenaikan pangkat daripada anggota rendah sampailah kepada pegawai kanan.

“Dengan cara ini, kita boleh uji kebolehan mereka daripada segi kepimpinan, pengucapan awam dan lain-lain lagi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Surat Ucapan Tahniah Kepada Lima Pegawai Kanan PDRM yang telah dinaikkan pangkat di sini hari ini.

Lima pegawai kanan itu ialah Timbalan Pengarah Siasatan Jenayah 1 Datuk Morza Zazarene, Ketua Polis Pahang, Datuk Robiah Abdul Ghani, Timbalan Pengarah (1) (Gerakan), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Abdul Rahman Hussin, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob dan Ketua Polis Melaka. Senior Asisten Komisioner I Mazlan Mansor.

Katanya penilai kursus kenaikan pangkat itu bukan sahaja terdiri daripada kalangan pegawai PDRM tetapi juga pegawai JPA.

Musa berkata kaedah temuduga yang dijalankan sebelum ini tidak dapat menilai keseluruhan kebolehan pegawai dan anggota, yang mana pemilihan berdasarkan “dicadangkan” oleh ketua dan pegawai mereka.

“Kaedah sebelum ini, hanya bergantung pada yang dicadangkan daripada ketua dan pegawai mereka, tetapi kita tak uji lagi bagaimana kepimpinan mereka dan sebagainya. Mungkin dia bagus hanya dalam sesetengah perkara sahaja.

“Jika nak naikkan pangkat seseorang kena lihat menyeluruh daripada segi kepimpinan dan perwatakan. Ini kerana apabila seseorang dinaikkan pangkat orang bawah akan pandangnya sebagai pemimpin,” katanya. - Bernama

No comments: