Utara: Anggota polis perlu terbuka terima arahan tukar
Berita Harian
IPOH: Anggota polis yang diarahkan bertukar ke mana-mana cawangan diharapkan menerima keputusan itu dengan fikiran terbuka dan menjadikan pertukaran itu pendorong untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, berkata pertukaran anggota serta pegawai ke mana-mana cawangan PDRM seluruh negara adalah proses biasa dan setiap anggota perlu menerimanya dengan hati terbuka.
"Pemilihan itu dibuat selepas setiap kontinjen mengadakan mesyuarat dan mengusulkannya kepada Ketua Polis Negara sebelum pertukaran berkenaan diluluskan.
"Justeru, semua anggota perlu bersiap sedia menerima keputusan itu dan tidak menjadikannya satu beban sehingga mengganggu tugas sebagai anggota PDRM," katanya ketika berucap pada majlis penghargaan kenaikan pangkat Anggota Berpangkat Rendah (APR) Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, di sini, semalam.
Seramai 114 anggota terdiri daripada berpangkat koperal sehingga sub inspektor menerima sijil kenaikan pangkat masing-masing, berkuatkuasa pada 22 Julai lalu.
Azisman berkata, pihaknya sentiasa bersedia mempertimbangkan rayuan jika ada anggota yang mempunyai alasan kukuh untuk menolak pertukaran dan bersedia untuk mengambil tindakan seadilnya.
"Bagaimanapun, alasan yang diberi perlu bersesuaian dan disertakan bukti bagi mengelak sebarang kemungkinan pada masa depan selain boleh menyebabkan pertikaian kepada anggota lain," katanya.
Pada majlis sama, beliau turut mengucapkan penghargaan kepada APR yang layak menerima kenaikan pangkat hasil dedikasi serta perkhidmatan cemerlang yang ditunjukkan anggota.
"Jadikan kenaikan berkenaan sebagai motivasi kepada anggota untuk terus berkhidmat dengan lebih bersungguh-sungguh," katanya.
No comments:
Post a Comment