01 August 2008

Tiada diskriminasi siswazah perguruan

Utusan Online

PUTRAJAYA 31 Julai – Tidak wujud isu ‘diskriminasi’ dalam proses pengambilan guru oleh Kementerian Pelajaran melibatkan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan siswazah Institut Pendidikan Guru (IPG).

Ketika memberikan jaminan itu, Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Tun Hussein berkata, isu itu timbul mungkin disebabkan berlakunya salah faham berikutan penyaluran maklumat kurang tepat.

‘‘Lagipun perkara ini belum dilaksanakan, jadi bagaimana boleh timbul diskriminasi. Ini hanyalah satu kebimbangan mengenai kemungkinan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyerahkan surat tawaran kepada lima pelajar bagi menyaksikan pelancaran satelit MEASAT-3a di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan, di sini hari ini.

Hishammuddin mengulas laporan akhbar baru-baru ini yang mengatakan berlakunya diskriminasi antara guru lepasan IPTA dan siswazah IPG dalam soal pengambilan guru.

Diskriminasi dikatakan timbul apabila kementerian menetapkan pelbagai syarat kepada guru lepasan IPTA seperti mesti lulus dengan purata gred kumulatif (CGPA) minimum 2.75 sebelum layak mengambil ujian dan ditemuduga untuk jawatan guru.

No comments: