28 July 2008

Guru bukan siswazah tidak diketepikan

Berita Harian

Kementerian jamin junior DG41 tak langkau DG44

KUALA
LUMPUR: Kementerian Pelajaran memberi jaminan bahawa guru junior tidak
mungkin dapat melangkau guru bukan siswazah senior gred DG44 sekiranya
mereka terus mencatat prestasi baik dalam perkhidmatan.


Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata
perkara itu tidak akan berlaku walaupun kerajaan memberi insentif
kepada guru DG41 berupa tiga tahun perkhidmatan mereka dalam gred DGA29
diambil kira sebagai setahun pengalaman mengajar.

Sebaliknya, beliau berkata, peluang masih terbuka luas kepada guru
gred DG44 untuk memperoleh kenaikan pangkat ke pelbagai jawatan lebih
tinggi seperti pengetua, guru cemerlang dan pegawai di institut
pendidikan guru.


"Apabila perjawatan guru terbabit pada gred DG44 sudah
disahkan, lazimnya selepas enam bulan dan mencatat prestasi bagus dalam
kerja, mereka akan mendapat sokongan ketua jabatan untuk naik ke
peringkat seterusnya.


"Peluang kenaikan pangkat mereka ke gred DG48 adalah cepat,
hanya menunggu kekosongan. Justeru, guru berkenaan diminta jangan
bimbang, bersabar dan memberi tumpuan kepada tugas supaya prestasi
kerja terus meningkat," katanya ketika dihubungi, semalam.








Beliau mengulas laporan akhbar yang memetik Kesatuan Perkhidmatan
Perguruan Kebangsaan (NUTP) sebagai meminta kerajaan prihatin dan peka
terhadap pandangan serta keluhan guru gred DG44 berhubung pemberian
insentif kepada kumpulan guru gred DGA29 dan juga DG41.


Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng, berkata pihaknya
menerima banyak keluhan daripada kumpulan guru bukan siswazah dalam
gred DG44 yang mendakwa tidak puas hati dengan pemberian insentif itu.


Lok berkata, guru senior berkenaan dianaktirikan dalam dua
keadaan, iaitu hadiah kenaikan gaji ditawarkan kepada kumpulan guru
gred DGA29 ke DG41 serta tiga tahun perkhidmatan diambil kira sebagai
setahun pengalaman mengajar, tidak diberikan kepada mereka.


Katanya, kedua-dua perkara itu menyebabkan guru junior melangkau guru senior.







Pada majlis pelancaran Hari Guru 2008, 16 Mei lalu, Perdana Menteri,
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengumumkan beberapa insentif kepada
warga pendidik dalam usaha memperkukuh dan juga memperkasa profesion
keguruan di negara ini.


Antara lain, kerajaan bersetuju mengambil kira pengalaman
mengajar guru semasa dalam skim bukan siswazah DGA untuk pertimbangan
kenaikan gred secara 'time based' selepas berada dalam skim siswazah,
iaitu dari gred DG41 ke DG44.


Mengenai kemungkinan guru gred DG44 turut menikmati insentif
serupa dengan tempoh khidmat mereka dalam skim bukan siswazah diambil
kira sebagai pengalaman mengajar bagi tujuan kenaikan gred seterusnya
pula, Alimuddin berkata, perkara itu belum dibincangkan.


"Bagaimanapun jika NUTP ada cadangan, mereka boleh mengemukakannya untuk dibincang," katanya.




1 comment:

Anonymous said...

To Admin...

Saya masih lagi baru di dalam Perkhidmatan Awam...

Saya ingin bertanya kerana kurang faham dengan konsep
"kumpulan guru bukan siswazah dalam
gred DG44"
Bagaimana statusnya? Apa beza guru DG41 yang direct dari Universiti?