29 April 2008

SPA cadang gubal saringan temu duga

Utusan Online

KUALA LUMPUR 28 April - Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bercadang menggubal saringan temu duga kakitangan awam supaya ia dijalankan dengan lebih profesional bagi melahirkan lebih ramai kakitangan yang berkualiti dan memiliki integriti.

Pengerusinya, Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri berkata, langkah itu perlu memandangkan permohonan untuk memasuki perkhidmatan awam semakin bertambah setiap tahun.

Di samping itu, katanya, SPA juga bercadang memperbanyakkan lagi pameran kerjaya dan temu duga terbuka di dalam dan luar negara bagi menggalakkan calon-calon terbaik menyertai perkhidmatan awam.

''Langkah ini perlu sebagai langkah tambahan kepada kaedah permohonan jawatan sepanjang masa di bawah Sistem Mengambil Sepanjang Masa Elektronik (e-SMSM)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santapan Malam sempena Sambutan Jubli Emas SPA yang dihadiri kira-kira 800 kakitangan awam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini malam ini.

Turut berangkat hadir ialah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Hadir sama ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

1 comment:

dhiyas said...

adakah penahanan gaji & elaun bukan dikotegorikan sebagai tindakan tatatertib & ketua jabatan@ ketua unit Bahagian tidak perlu memaklumkan perkara tersebut kepada bahagian LTT & kepada pegawai yg dituduh tersebut..wajar kah tanpa sebarang makluman @ info @ ape2 pemberitahuan gaji terus ditahan tanpa pegawai tersebut mengetahui ape2 po yg dikenakan terhadap diri nya.