28 April 2008

Pembayaran elektronik agensi kerajaan 1 Julai

Berita Harian

Urus niaga di 106 kaunter diubah tingkat sistem penyampaian

KUALA LUMPUR: Mulai 1 Julai ini, semua pembayaran bagi urus niaga 106 agensi kerajaan akan dibuat secara elektronik dalam usaha meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Ketua Setiausaha Negara yang juga Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), Tan Sri Mohd Sidek Hassan, yang mengumumkan demikian berkata, proses pengubahsuaian akan dibuat dalam tiga fasa, bermula dengan 21 agensi kerajaan pada 1 Mei ini.

Beliau berkata, fasa kedua mulai 1 Jun akan membabitkan 55 agensi kerajaan, manakala fasa terakhir bagi baki 30 agensi lagi akan dilakukan pada 1 Julai.

"Kaunter perkhidmatan akan dikekalkan untuk orang ramai yang masih mahu menggunakan kaedah pembayaran secara tunai," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Kelima Pemudah, semalam.

Mohd Sidek berkata, ketika ini, 83 kaunter di 72 cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerima pembayaran menggunakan kad kredit untuk memperbaharui cukai jalan, manakala urus niaga menggunakan kad debit akan dilaksanakan akhir tahun ini.

"JPJ juga menerima pembayaran menggunakan kaedah elektronik di 111 lokasi yang diiktiraf untuk ujian teori memandu, memperbaharui lesen memandu, termasuk lesen memandu sementara dan saman," katanya.

Beliau berkata, mulai tarikh sama, semua pembayaran tertunda dan prapelepasan kargo akan dibuat berdasarkan kepada Jangkaan Masa Tiba (ETA) kapal.

Katanya, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) juga akan bekerjasama dengan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) untuk memperluaskan kemudahan seperti Customs Golden Client dan Authorised Economic Operator untuk syarikat yang disahkan FMM.

Bagi melicinkan operasi itu, beliau berkata, maklumat ETA akan disediakan untuk semua agensi kerajaan lebih awal bagi memudahkan proses pelepasan sama ada pada hari bekerja, hujung minggu atau cuti awam.

Mohd Sidek juga mengingatkan ahli Pemudah dan syarikat swasta supaya melaksanakan tanggungjawab mengimbangi usaha kerajaan untuk meningkatkan integriti kerana kelewatan bukan hanya berpunca daripada agensi kerajaan, tetapi turut disumbang sektor swasta.

"Bagi industri pembinaan misalnya, sebarang kelewatan dan kecuaian boleh mengakibatkan projek itu terbiar atau timbul pelbagai masalah lain yang akan mengganggu kehidupan pelbagai pihak, sama ada pekerja atau penduduk sekitar kawasan itu, manakala mutu kerja pemaju dan kontraktor pula boleh memberi kesan kepada pembeli hartanah," katanya.

Beliau berkata, Pemudah juga akan meneliti beberapa proses berkaitan pemerolehan awam dan kaedah pembayaran elektronik dalam semua urus niaga kerajaan, dalam tempoh enam bulan dari sekarang.

Berikutan itu, katanya, Pemudah akan membentuk kerangka untuk memperbaiki proses pemerolehan awam selaras saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya kerajaan meningkatkan tanggungjawab dan telus dalam semua proses pemerolehan awam dan tender pada Dialog Integriti Asean, baru-baru ini.

"Rangka kerja itu dijangka siap akhir tahun ini dan Pemudah akan cuba menyediakan ruang perniagaan yang lebih baik untuk sistem pemerolehan awam," katanya.

Mohd Sidek berkata, ketika ini banyak inisiatif sudah diambil bagi memperbaiki sistem pemerolehan awam, termasuk mengeluarkan Surat Pekeliling Kewangan (TCL) 5/2007 berikutan perubahan dan penambahbaikan kepada peraturan serta prosedur pemerolehan kerajaan.

No comments: