Hanya KSU Kementerian Pengangkutan, Ketua Pengarah JPJ aktif lapor kesalahan jalan raya
Utusan Online
PORT DICKSON 6 Feb — Kecuali dua pegawai kanan dari Kementerian Pengangkutan, pegawai kerajaan yang lain daripada Kumpulan A didapati langsung tidak menunjukkan minat untuk membantu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaporkan kesalahan jalan raya seperti yang dikehendaki oleh satu pekeliling berusia lebih 20 tahun.
Pengarah Penguatkuasa JPJ Salim Parlan berkata, hanya Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Zakaria Bahari dan Ketua Pengarah JPJ Datuk Ahmad Mustapha Abdul Rashid yang aktif menyalurkan maklumat kepada JPJ dan polis.
“Sejak dari tahun 80an, pekeliling itu sudah dikeluarkan dan semua orang tahu mengenainya tetapi sambutan yang diberikan sangat-sangat dingin,” katanya kepada pemberita di sekatan jalan raya Ops Sikap untuk musim perayaan Tahun Baru Cina di KM 6 Jalan Pantai di sini malam tadi.
Salim berkata, jika pekeliling itu dipatuhi, JPJ atau pun polis akan mendapat bantuan daripada puluhan ribu “pegawai baru”.
“Setahu saya, kita ada Pegawai Tadbir dan Diplomatik yang kini berjumlah 7,000 orang, semuanya dalam kumpulan A. Bayangkan jika 7,000 orang ini memberikan kerjasama, ini akan jadi sumbangan yang besar kepada negara di mana orang ramai tidak berani bertindak sesuka hati di jalan raya,” katanya.
Katanya, pegawai-pegawai ini lebih efektif kerana mereka berada di mana-mana sahaja seperti di daerah, bandar kecil dan kampung malah mereka ini tidak dapat dilihat oleh pesalah jalan raya kerana tidak memakai seragam.
“Mereka boleh lapor pada kami dan kita boleh bekerjasama untuk mengatasi masalah sikap pemandu yang suka memandu terlalu laju, langgar lampu merah atau memerhati tingkah laku penunggang motosikal, kumpulan yang paling banyak melakukan kesalahan,” kata Salim.
Pekeliling itu melibatkan hanya pegawai dari Kumpulan A yang mungkin dipanggil menjadi saksi di mahkamah selepas laporan kesalahan itu dibuat kepada JPJ.
Salim menyeru orang ramai membantu JPJ dengan mengemukakan ah sebarang aduan melalui talian 03-88866412 atau emelkan kepadanya melalui pkuasa@jpj.gov.my.- Bernama
No comments:
Post a Comment