06 February 2008

7,239 pegawai akademik kolej komuniti, politeknik naik gaji

Utusan Online

PUTRAJAYA 5 Feb. - Sebanyak 7,239 pegawai akademik kolej komuniti dan politeknik akan menikmati kenaikan gaji menerusi pengenalan Skim Pegawai Perkhidmatan Pengajian Tinggi (PPPT) yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed berkata, skim tersebut akan menggunakan kod gaji DH bagi menggantikan Skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan Pegawai Pendidikan Lepasan Diploma (PPLD) yang menggunakan kod gaji DG.

Beliau bagaimanapun enggan memaklumkan kadar kenaikan gaji pegawai akademik terbabit sebaliknya berkata, apabila berlaku perubahan dalam skim, tangga gaji juga akan naik secara automatik.

"Skim ini menggunakan pendekatan kenaikan pangkat tanpa kekosongan jawatan bagi kumpulan sokongan dan kumpulan profesional sehingga ke gred DH54," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku Agenda Pembangunan Modal Insan Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti di sini hari ini.

Mustapa berkata, pelaksanaan skim tersebut telah dipersetujui pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perjawatan dan Gaji Pekerja-Pekerja Sektor Awam yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada September tahun lalu.

Katanya, semua pegawai yang sedang berkhidmat di bawah skim PPPS dan PPLD ditawarkan pilihan untuk dilantik ke skim perkhidmatan baru PPPT itu.

Ketika ini, katanya, terdapat sebanyak 24 buah politeknik dan 37 kolej komuniti di seluruh negara.

No comments: