07 February 2008

14 klinik kerajaan dibuka sehingga 9.30 malam

Utusan Online

KUALA LUMPUR 6 Feb. - Waktu perkhidmatan 14 klinik kesihatan kerajaan di beberapa negeri akan dilanjutkan sehingga pukul 9.30 malam bagi membolehkan rakyat mendapat rawatan perubatan dengan lebih mudah dan cepat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, waktu perkhidmatan lebih lama itu melibatkan hari bekerja biasa manakala pada Sabtu ia dibuka dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari serta ditutup pada Ahad dan cuti umum.

"Sekiranya langkah ini mendapat sambutan baik daripada rakyat, besar kemungkinan kita akan memanjangkan perkhidmatan ini ke klinik kesihatan lain di seluruh negara yang kini beroperasi sehingga pukul 5.30 petang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, klinik kesihatan yang terlibat ialah di Alor Star, Greentown di Ipoh; Anika di Klang, Selayang Baru, Seremban, Peringgit di Melaka dan Mahmoodiah, Johor Bahru.

"Ia turut membabitkan klinik kesihatan di Bandar Maharani di Muar, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Jalan Masjid di Kuching, Sandakan dan Putrajaya," ujarnya.

Selaras dengan langah itu, jelasnya, kerajaan menaikkan bayaran insentif selepas waktu pejabat kepada pegawai perubatan yang berkhidmat di klinik kesihatan terbabit daripada RM30 kepada RM80 sejam.

Katanya, bayaran insentif baru yang membabitkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM12.31 juta setahun itu turut diterima oleh pegawai perubatan yang bertugas di unit kecemasan hospital kerajaan.

Sementara itu, Mohd. Ismail berkata, kerajaan telah meluluskan pemberian insentif baru bagi pegawai perubatan yang menjalankan pembedahan pada hari Sabtu di hospital kerajaan seluruh negara.

Menurut beliau, kadar bayaran itu ialah RM200 sejam kepada pakar perubatan dan RM80 sejam kepada pegawai perubatan bertujuan memastikan masa menunggu pesakit bagi menjalani pembedahan dipercepatkan.

"Pembayaran insentif ini melibatkan peruntukan tambahan kerajaan sebanyak RM6.9 juta setahun," ujarnya.

No comments: