24 December 2007

Cuepacs, KSN bincang sagu hati

Berita Harian

Kesatuan mohon honorarium RM2,000 tetapi akur keputusan kerajaan ikut kemampuan

PUTRAJAYA: Permohonan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk mendapatkan honorarium atau sagu hati bagi menggantikan bonus untuk kakitangan awam akan dibincangkan dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan, bulan depan.

Presidennya, Omar Osman, berkata Cuepacs sedang menunggu kepulangan Mohd Sidek yang kini berada di Makkah kerana menunaikan fardu haji.

Omar berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini memberikan lampu hijau kepada Cuepacs untuk membincangkan perkara itu dengan Mohd Sidek.

Pada 10 September lalu, Cuepacs menghantar memorandum memohon agar kerajaan mempertimbangkan semula pemberian bonus atau sebagai gantinya honorarium RM2,000 kepada setiap kakitangan awam tanpa mengira gred.

Di samping itu, pemberian ini akan dapat meringankan beban kakitangan awam berikutan kenaikan harga barangan. Jumlah keseluruhan kakitangan awam ialah 1.2 juta dengan 850,000 orang daripadanya kakitangan sokongan yang berpendapatan rendah.

Omar berkata, walaupun Cuepacs memohon RM2,000 bagi setiap kakitangan awam namun kesatuan itu akur pada apa saja keputusan kerajaan mengikut kemampuannya.

Beliau berkata, turut dibincangkan dalam pertemuan itu kelak ialah permohonan bagi melanjutkan tempoh perkhidmatan awam kepada 60 tahun berbanding 56 tahun sekarang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Cuepacs akan mengadakan mesyuarat khas pada 28 Disember ini bagi membincangkan cara membantu kakitangan awam yang terbabit dengan banjir di negeri teruk terjejas, termasuk Pahang. � Selain itu, Omar berkata, Cuepacs juga berharap agar peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) ditangguhkan sehingga selesai masalah banjir.

"Setiap jabatan harus menangguh sementara PTK bagi membolehkan warga awam yang terbabit dengan banjir menumpukan perhatian terhadap keluarga mereka," katanya. � Bernama

No comments: