22 December 2007

Skim gaji ekspres pinggir guru lama

Utusan Online

BELUMPUN reda isu pelaksanaan sistem kenaikan gaji secara 'time base' kepada bukan siswazah yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada guru DGA29 ke DG41 kini timbul pula isu guru DG41 dan DG44 yang mengajar Tingkatan Enam diberi 'anugerah gaji ekspres' DG44 dan DG48 tanpa mengambil kira pengalaman mengajar Tingkatan Enam.

Inilah kecelaruan sistem penggajian yang melanda bidang pendidikan masa kini. Memang guru yang melahirkan rasa tidak puas hati akan dilabel sebagai golongan tidak bersyukur, tamak dan sebagainya namun jika diselidiki secara telus, tuntutan dan keluhan golongan guru ini memang ada benarnya.

Jika bidang kerja lain, faktor pengalaman amat diutamakan dalam menentukan jawatan atau kenaikan gaji, namun agak berlainan dalam bidang pendidikan.

Kenaikan gaji dalam bidang pendidikan nampaknya begitu 'mesra guru baru' tetapi tidak kepada guru berpengalaman.

Syarat kelayakan seseorang guru mendapat gaji DG32 'time base' yang mula dilaksanakan pada 2005 iaitu pengalaman mengajar lebih 10 tahun, lulus Pencapaian Tahap Kecekapan (PTK) dan sokongan guru besar, begitu menguntungkan golongan guru baru.

Syarat ini menyebabkan gaji guru yang baru mengajar 11 tahun menyamai gaji guru yang mengajar 18 tahun. Malah ada guru baru ini yang mendapat tunggakan gaji hingga belasan ribu ringgit, manakala guru yang mengajar lebih 18 tahun jika mendapat gaji 'time base' DG32, mereka hanya mendapat kelebihan satu kenaikan tangga gaji.

Kemudian timbul pula kerugian yang dialami guru yang melanjutkan pelajaran secara sepenuh masa atau pengajian jarak jauh (PJJ). Mereka menjadi mangsa apabila rakan DG29 diberi anugerah 'time base' DG32. Padahal jika mereka terus kekal di DG29, mereka juga akan menikmati gaji lebih baik.

Maka timbul perasaan 'menyesal tak sudah' kerana berkorban masa dan wang ringgit untuk melanjutkan pelajaran.

Kini isu terbaru yang menjadi sensasi di kalangan guru terutama guru siswazah ialah 'anugerah gaji ekspres' untuk guru yang mengajar Tingkatan Enam, iaitu kenaikan gaji dari DG41 kepada DG44 dan DG44 kepada DG48.

Isu ini jika benar sudah pasti ia akan kembali menjadi polimik di kalangan guru.

Skim gaji ini jika dilaksanakan sekali lagi akan 'menjadi duri dalam daging' di kalangan guru siswazah seperti yang berlaku kepada guru bukan siswazah.

Ia sekali lagi akan meninggalkan parut hitam kepada segelintir bekas guru Tingkatan Enam walaupun ia bagai bulan jatuh ke riba kepada guru yang baru mengajar Tingkatan Enam.

Tidak pernahkah kita fikirkan perasaan bekas guru Tingkatan Enam yang mungkin terpaksa meninggalkan Tingkatan Enam selepas lebih 10 tahun mengajar Tingkatan Enam kerana kenaikan pangkat atau simpati pengetua selepas terlalu lama mengajar kelas yang mencabar berkenaan.

Akibat perkara itu mereka ini menjadi mangsa keadaan dan kempunan yang tidak kesudahan.

Sekali lagi guru lama dan berpengalaman menjadi 'mangsa' dalam isu ini dan dibimbangi menyebabkan guru berpengalaman sama ada siswazah atau bukan siswazah berterusan 'makan hati'. Pasti timbul tanggapan di kalangan guru senior ini bahawa diri mereka 'ibarat habis madu sepah dibuang'.

Jadi tentu besar harapan guru senior siswazah dan bukan siswazah agar nasib mereka turut mendapat pembelaan.

Sebenarnya mereka ini adalah golongan modal insan yang amat penting dalam melakar kejayaan dan kecemerlangan sekolah. Mereka ini yang banyak menjawat jawatan penting sekolah.

Pihak Kementerian Pelajaran patut menjadikan isu kenaikan pangkat dan gaji guru sebagai satu agenda penting demi memartabat profesion perguruan dan agar profesion ini tidak diperkotak-katikkan kerana isu berkenaan. Biarlah semua guru menikmatinya dengan adil dan saksama.

Kajian terperinci perlu dilakukan sebelum sesuatu pelaksanaan kenaikan pangkat dan gaji dilakukan agar tidak timbul 'rumah siap pahat berbunyi'.

Adalah amat diyakini perkara ini akan dapat ditangani dengan bijaksana oleh pihak Kementerian Pelajaran demi kebaikan guru senior siswazah dan bukan siswazah.

IRMAZ DINI
Pendang, Kedah.

3 comments:

YUSLI MUSTAFFA said...

ada pekeliling tak. takkan takde syarat. 3 tahun mengajar dpt dg44, tak adillah

Anonymous said...

ini tk adil

Anonymous said...

skim gaji ekspress kepada guru Form 6 sangat bagus tetapi perlulah ada syarat baru nampak professional misalnya.

1. mengajar 16 waktu unt form 6
2. 3 tahun pengalaman
3. yang paling penting mesti ada masters dalam bidang misalnya mengajar ekonomi mesti ada masters ekonomi bukannya masters pengurusan pendidikan.

ini lah amalan yg pro. cth di IPG yg mewajibkan pengajarnya ada ijazah lanjutan untuk naik gred.

thanks
boi-kamsis C/90