24 December 2007

Cina, India tak minat

Berita Harian

JPA sukar rapat jurang kaum dalam sektor perkhidmatan awam

KUALA LUMPUR: Kurang minat berkhidmat dengan kerajaan dan tidak banyak permohonan daripada kaum Cina dan India adalah antara faktor utama wujud jurang besar antara dua golongan itu dengan pegawai Melayu dalam sektor perkhidmatan awam.

Statistik Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menunjukkan hanya 1.78 peratus kaum Cina dan 2.5 peratus kaum India daripada 486,802 individu yang memohon untuk menyertai sektor awam tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam, berkata situasi itu sukar diubah walau pun pihaknya dan SPA, yang bertanggungjawab dalam urusan pengambilan kakitangan awam, sentiasa berusaha memastikan tidak wujud perbezaan ketara antara kaum dalam senarai penjawat awam di semua peringkat.

Beliau menegaskan, kerajaan tidak pernah mengamalkan sikap pilih kasih atau diskriminasi dalam pengambilan kakitangan baru termasuk peringkat Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD).

"Aspek utama yang diberi perhatian dalam pengambilan penjawat awam adalah merit atau kelayakan akademik, bukan kaum. Tidak ada kebenaran jika ada pihak menganggap faktor kaum menjadi pertimbangan dalam proses pengambilan kakitangan kerajaan.

"SPA sentiasa mengutamakan kelayakan pemohon untuk memastikan sistem penyampaiannya awam bermutu dan sekali gus dapat membantu rakyat yang berurusan dengan kerajaan," katanya kepada Berita Harian, semalam.

Isu berkaitan jurang antara kaum di negara ini ditimbulkan Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) yang mengadakan demonstrasi jalanan pada 25 November atas alasan ingin memperjuangkan hak kaum India di negara ini.

Mereka turut membuat pelbagai tuduhan terhadap kerajaan termasuk mendakwa kononnya rakyat keturunan India di negara ini dipinggirkan dan berlaku 'pembersihan etnik' di negara ini.

Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu, pula dilaporkan berkata hanya 46,054 kaum India bekerja dengan dalam perkhidmatan awam daripada 1.2 juta orang.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjelaskan, pelbagai langkah diambil bagi menambah penyertaan bukan Bumiputera dalam perkhidmatan awam, termasuk mengiklankan kekosongan jawatan dalam akhbar Tamil dan Cina, selain memudahkan proses permohonan menerusi laman web.

Mengikut Perkara 144 (1) Perlembagaan Persekutuan, SPA berkuasa melantik pegawai untuk menyertai Perkhidmatan Awam Am Persekutuan dan Perkhidmatan Awam Negeri di Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perlis dan Melaka.

SPA mengambil 16,388 kakitangan baru pada 2004 dan 17,031 pada tahun pada 2005 serta 18,544 kakitangan baru, tahun lalu.

Ismail berkata, SPA sentiasa mengambil tindakan untuk memastikan hebahan berkaitan kekosongan jawatan dalam perkhidmatan awam mendapat perhatian semua kaum, bukan kaum tertentu saja.

"Iklan jawatan kosong dalam perkhidmatan awam bukan saja dibuat dalam akhbar yang khusus untuk kaum tertentu saja, tetapi seimbang untuk semua, cuma permohonan yang diterima adalah kecil daripada bangsa Cina dan India.

"Memang permohonan jawatan awam paling tinggi diterima di kalangan Melayu dan ia bukannya disengajakan. Itulah senario sebenar yang berlaku," katanya.

Beliau berharap pengumuman kenaikan gaji kakitangan awam baru-baru ini dapat menarik minat lebih ramai bukan Melayu untuk berkhidmat dalam perkhidmatan awam yang menyediakan pelbagai insentif sampingan.

No comments: