17 September 2007

JPJ hanya beri cuti Aidilfitri dua hari

Berita Harian

Oleh Abdul Razak Raaff

KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,500 penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), yang akan bertugas sepanjang Ops Sikap di seluruh negara bermula bulan depan, hanya diberi cuti pelepasan dua hari iaitu pada hari pertama dan kedua Aidilfitri secara bergilir-gilir.

Langkah itu bertujuan memudahkan pihak berkuasa terbabit menggerakkan kekuatan anggotanya untuk memastikan keberkesanan operasi yang bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya pada musim perayaan, seperti sebelum ini.

Pengarah Penguat Kuasa JPJ, Salim Parlan, berkata keputusan memberi cuti hanya dua hari, secara bergilir itu sudah diputuskan dalam satu mesyuarat baru-baru ini, bagi memudahkan pihaknya menggerakkan mereka sepanjang Ops Sikap.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengeluarkan pekeliling mengenai perkara itu kepada Pengarah JPJ di setiap negeri selain memberi peringatan kepada penguat kuasa mengenai tugas dan tanggungjawab mereka.

"Kita bekukan cuti, tetapi mereka akan diberi pelepasan pada Aidilfitri dan sehari selepasnya secara bergilir untuk beraya bersama keluarga sebelum bertugas semula. Kita harap keluarga mereka memahami tanggungjawab mereka kepada negara," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Salim berkata, mengenai Ops Sikap bagi musim perayaan kali ini, penguat kuasa JPJ akan ditempatkan di semua jalan utama termasuk lebuh raya di kawasan berisiko tinggi yang sudah dikenal pasti sering berlaku kemalangan.

No comments: