18 September 2007

Beri peluang guru maktab berpengalaman

Berita Harian

MUNGKIN ramai ibu bapa tidak menyedari anak mereka di sekolah rendah kini dibimbing guru berijazah. Bukan ingin menafikan keupayaan guru lepasan maktab perguruan, tapi kemampuan mereka selama ini membuktikan mutu kerja dan pengalaman mereka yang tidak berijazah setanding ketika mengajar di sekolah menengah mahupun rendah.

Seperti prinsip bekerja digariskan oleh Menteri Pelajaran sendiri berkaitan penyelarasan dan kerjasama berpasukan sangat penting untuk mengelakkan sebarang pertindihan dan pembaziran.

Guru berijazah menjadi input kepada Kementerian Pelajaran bagi sesebuah penilaian kejayaan program dan projek pendidikan seperti digariskan. Namun, sejauh mana keperluan jika guru berijazah dalam bidang Sejarah atau Geografi yang banyak di sekolah rendah sekadar mengajar Pendidikan Jasmani, Kajian Tempatan atau Bahasa Malaysia di sekolah rendah.

Apalagi guru lulusan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) yang memiliki kelulusan dan pengalaman kerja dalam bidang akaun, guaman atau kejuruteraan hanya sekadar mengajar Bahasa Inggeris untuk pelajar Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah rendah.

Saya juga berpendapat bahawa guru berpengalaman lebih 10 tahun di sekolah rendah hendaklah diletakkan di sekolah menengah selepas mendapat ijazah. Begitu juga guru sekolah rendah yang berpengalaman mendisiplinkan pelajar hendaklah diberikan tanggungjawab mendisiplinkan pelajar sekolah menengah.

Lebih menarik lagi jika peluang kenaikan pangkat sebagai pengetua diberikan kepada mereka, apatah lagi bakal pengetua cemerlang? Apakah guru berijazah yang kekal di sekolah rendah berpeluang menjadi pengetua? Atau ketua bidang? Peluang sebegini hanya untuk guru berijazah di sekolah menengah.

Keterbukaan terhadap idea dan bentuk baru perkongsian pintar amat penting. Malaysia perlu belajar daripada pengalaman pelbagai pihak dan negara lain serta sensitif terhadap setiap perkembangan terbaru serta kehendak pendidikan pada peringkat antarabangsa.

Bayangkan seorang guru berijazah di sekolah rendah sedang menyiapkan tesis ijazah sarjana yang semakin ramai di universiti sekarang. Untuk tesis ijazah sarjana sudah pasti guru itu memiliki pengetahuan luas mengenai bidang kajiannya.

Keterbukaan idea baru dan bentuk perkongsian ilmu secara pintar tidak akan menjadi satu perkembangan jika guru itu berada di sekolah rendah. Wajar Kementerian Pelajaran mengambil kesempatan meletakkan guru sebegini di sekolah menengah.

Mungkin benar ramai guru berijazah di sekolah rendah tidak mahu terbabit dengan tekanan kerja di sekolah menengah. Namun, ada baiknya pihak kementerian mengeluarkan tawaran dan mampu membuat pemilihan yang baik untuk memancing guru berijazah di sekolah rendah ke sekolah menengah.

Bagi memastikan kejayaan program pendidikan yang dirancang, ia perlu disokong dengan sumber yang mencukupi dari segi tenaga, peruntukan kewangan dan kepakaran.

Perubahan status guru sekolah menengah dan rendah tidak membabitkan keperluan kewangan dan boleh dilakukan pada peringkat jabatan pelajaran negeri. Langkah ini perlu bagi memantapkan evolusi pendidikan negara serta selaras dengan lapan prinsip bekerja yang digariskan oleh Menteri Pelajaran baru-baru ini.

GURU BIASA,
Kuala Lumpur.

No comments: