Ambil pencen, ibu dihantar ke rumah orang tua
Berita Harian
MARANG: Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar mendedahkan sikap buruk segelintir anak tidak bertanggungjawab yang sanggup mengambil wang pencen ibu yang kini ditempatkan di Rumah Sejahtera Taman Bahagia (RSTB).
Beliau berkata, ada yang mengambil semua pencen ibu mereka setiap bulan tanpa meninggalkan wang saku untuk kegunaan orang tuanya yang ditempatkan di RSTB, Bukit Payong, dekat sini.
Katanya, perkara itu amat memalukan kerana sebagai anak seharusnya bertanggungjawab menjaga ibu bapa yang sudah berumur, bukannya diserahkan ke-pada badan kebajikan.
"Saya kesal dengan kejadian ini kerana anak tidak harus mengambil wang milik ibu bapa mereka serta membiarkan orang lain menjaganya disebabkan mereka sudah tua," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama penghuni RSTB di sini, kelmarin.
Abdul Rahman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (Mayang) Parlimen Marang berkata, pihaknya mengesan dua kes seperti itu berlaku di RSTB dan meminta anak penghuni terbabit supaya lebih bertanggungjawab terhadap orang tua mereka.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata RSTB yang masih mempunyai 50 tempat kosong, kini dihuni 28 orang, termasuk dua keturunan India dan seorang Cina.
No comments:
Post a Comment