22 September 2007

Boikot barang harga naik melampau

Utusan Online

KUALA LUMPUR 21 Sept. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu semua pengguna bersama-sama memboikot barangan yang harganya naik melampau sebagai tanda bantahan terhadap para peniaga.

Presidennya, Omar Osman berkata, badan itu bersama ahli-ahli Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan berkumpul di Plaza Tol Sungai Besi pada petang Ahad bagi melahirkan rasa tidak puas hati dengan kenaikan harga barangan yang begitu drastik.

“CUEPACS juga akan mengedarkan 30,000 risalah berkenaan kenaikan harga barang terutama 17 barang kawalan, dan risalah itu akan menyenaraikan jenis barang yang mengalami kenaikan harga melampau dan perlu diboikot,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Pengguna di Wisma CUEPACS di sini hari ini.

Omar berkata, pengguna mempunyai kuasa yang amat besar dalam dunia perniagaan. Katanya, sekiranya semua pengguna bersatu hati dan bersama-sama memboikot kenaikan harga barang, ia akan memberikan kesan kepada peniaga.

“Bila kita bersatu hati boikot kenaikan harga ini, peniaga akan rasa tergugat dan mereka akan sedar kuasa pengguna. Perkara ini pernah dilakukan dulu dan ada kesannya,” katanya.

Omar berkata, usaha memboikot kenaikan harga barang itu akan berterusan sehingga berakhirnya musim perayaan dan bukan sahaja terhad untuk pengguna di kawasan Lembah Klang tetapi turut meliputi seluruh pengguna di negara ini.

Beliau turut menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna meningkatkan lagi aktiviti pemantauan supaya lebih agresif bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang.

“Daripada aduan yang diterima terdapat juga barang kawalan yang dinaikkan harga, jadi pemantauan perlu lebih kerap dijalankan,” katanya.

- Bernama

No comments: