27 February 2007

Gandingan PTD dan PPPS jayakan misi pendidikan

Pendapat

MENTERI Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein baru-baru ini telah mengumumkan bahawa sebanyak 518 jawatan tambahan yang telah membuka perjawatan pegawai bertaraf siswazah di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) kepada Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD).

Antara jawatan yang akan disandang PTD di JPN ialah Ketua Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan (KPP), yang sebelum ini dipegang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS).

Pengumuman tersebut sekurang-kurangnya akan melenyapkan jawatan ‘sangkut’ di kedua-dua institusi itu. Selama ini banyak sekolah terpaksa mengorbankan tenaga pengajar di sekolah apabila guru-guru tertentu dipinjamkan ke JPN atau PPD tanpa adanya guru ganti.

Persatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang pada dasarnya tidak menolak usaha penyusunan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu, telah menyuarakan rasa kurang senang kerana langkah tersebut dijangka menimbulkan masalah kekurangan jawatan selepas kenaikan pangkat para guru terutamanya dari Gred DG41 kepada DG44 untuk menyertai pengurusan baru JPN.

NUTP menggesa JPA mengkaji semula kewajaran penstrukturan itu yang boleh menyebabkan masa depan lebih 300, 000 guru di negara ini terbantut.

Jaminan

Bagaimanapun, Menteri Pelajaran kemudiannya telah memberi jaminan bahawa dua jawatan tonggak di JPN, iaitu pengarah dan timbalan pengarah akan tetap dikhaskan kepada PPPS, bukannya PTD.

Para Pegawai Pendidikan Siswazah sewajarnya tidak perlu terlalu bimbang tentang taraf dan perjawatan mereka kerana difahamkan lebih banyak jawatan pengetua cemerlang yang juga bertaraf Jusa C akan diumumkan tidak lama lagi. Ia peluang sangat istimewa dinikmati PPPS kerana pelantikannya terbuka yang diasaskan kebolehan dan keupayaan bukan mengisi kekosongan.

Dalam pada itu, saranan pihak NUTP yang berharap supaya semua jawatan Pengarah JPN diberikan Gred Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) perlu juga diambil kira kerajaan.

Perbezaan gred jawatan itu mengikut negeri tidak harus wujud kerana mereka mempunyai tanggungjawab yang sama berat untuk dipikul.

Kita berharap keputusan kerajaan dalam menempatkan PTD di JPN dan kemungkinan diperluaskan ke rangkaian pendidikan lain seperti PPD dan sekolah itu tetap mengambil kira peluang dan sensitiviti PPPS. Kita percaya kemasukan PTD akan diterima dengan senang hati jika kedua-dua aspek itu dipelihara dan dikekalkan.

Kedua-dua pihak perlu berpegang kepada matlamat yang satu iaitu untuk menjayakan apa jua usaha membangunkan pendidikan negara, termasuk untuk program raksasa jangka pendek, iaitu menjayakan pelan pendidikan dan memperkasakan pendidikan luar bandar seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Kombinasi kepakaran PPPS dalam pengurusan pendidikan dan PTD dalam bidang pengurusan dan kewangan, pasti akan dapat memacu harapan kerajaan untuk melihat pendidikan negara mencapai kegemilangan termasuk di luar bandar.

Inilah sebenarnya yang menjadi hasrat kerajaan melalui teras dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 yang baru dilancarkan awal bulan lepas.

Dalam pada itu, penggemblengan usaha hendaklah berlandaskan permuafakatan dan bukannya pergeseran, pertelagahan atau curiga mencurigai antara satu sama lain tetapi, keberkesanan dan kemantapan perkhidmatan bagi semua urusan pendidikan perlulah diletakkan paling hadapan.

– WAN MARZUKI WAN RAMLI, Pasir Mas, Kelantan.

No comments: