28 February 2007

SPA, JPA perlu segera isi kekosongan jawatan

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

KUALA LUMPUR 27 Feb. – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu mengatasi segera masalah kekosongan jawatan di dalam kerajaan yang sehingga kini masih belum terisi.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Didalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Ahmad Shah Mohd. Zain berkata, kedua-dua agensi kerajaan itu perlu lebih proaktif untuk menangani masalah itu memandangkan bebanan kerja kakitangan sedia ada semakin meningkat.

Beliau berkata, antara kategori jawatan kosong paling kritikal ialah kategori kakitangan sokongan di dalam bidang pentadbiran selain badan beruniform seperti polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

‘‘Masalah ini telah berlanjutan lebih 10 tahun lalu dan Cuepacs amat memandang berat tentang isu ini selain semakan gaji. Kita percaya ia berlaku disebabkan terlalu banyak kerenah birokrasi di dalam sistem pengambilan kakitangan.

‘‘Akibatnya kakitangan sedia ada khususnya kumpulan sokongan menderita kerana terlalu banyak bebanan kerja. Lebih menyedihkan lagi gaji yang mereka terima ini tidak setimpal dengan bebanan yang ditanggung,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu utama yang akan terus diperjuangkan oleh Cuepacs dalam usaha memperbaiki mutu perkhidmatan awam di negara ini.

Pada Julai tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah mengarahkan SPA dan JPA mempercepatkan proses pengambilan siswazah menganggur bagi mengisi kira-kira 30,000 jawatan kosong di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

Menangani

Timbalan Perdana Menteri berkata, terdapat 74,000 jawatan kosong dan 30,000 daripadanya terbuka untuk diisi oleh siswazah dalam usaha menangani masalah siswazah menganggur.

Ahmad Shah berkata, bidang perubatan juga antara bidang yang antara paling ketara kekurangan kakitangan.

‘‘Cuepacs sering menerima pelbagai rungutan daripada ahli kita yang mereka tidak cukup tangan untuk menyiapkan tugas yang diberi. Ketua Jabatan juga ada merungut yang mereka tidak cukup kakitangan.

‘‘Cuepacs tidak tahu apa yang dilakukan oleh SPA dan JPA selama ini sedangkan langkah itu merupakan salah satu cara yang boleh mengurangkan masalah pengangguran,’’ ujarnya.

Dalam pada itu Ahmad Shah melahirkan kehairanan kerana isu kekosongan jawatan di peringkat pengurusan tertinggi kerajaan tidak pula berlaku.

No comments: