28 February 2007

Interaksi: Kadar gaji penjawat awam ukuran negara makin maju

Bersama M Thillinadan

PENGAKUAN Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bahawa kerajaan sedar Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) ada alasan kukuh untuk meminta kenaikan gaji, sudah tentu menggembirakan lebih 1.2 juta kakitangan awam di negara ini, khususnya kumpulan sokongan yang merangkumi separuh daripada jumlah itu.


Selain sedar semakan gaji kakitangan awam kali terakhir dibuat pada 1992, pelbagai faktor lain turut mendapat perhatian kerajaan khususnya kos sara hidup semakin meningkat, khususnya di kawasan bandar.

Kenaikan harga minyak, tol, pengangkutan awam, barang makanan dan keperluan dapur, serta dengan pendapatan purata kira-kira RM1,000 sebulan bagi kakitangan sokongan di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang, amat mencabar kehidupan harian mereka sekarang.

Tinjauan yang dibuat wartawan Berita Harian baru-baru ini membabitkan anggota polis berpangkat konstabel mendapati hidup mereka seperti ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

Dengan pendapatan purata RM1,200 sebulan, mereka terpaksa membayar sewa rumah RM400-RM500; kos persekolahan lima anak termasuk tambang bas sekolah (RM300), perbelanjaan dapur mencecah RM300.

Perbelanjaan itu tidak termasuk pinjaman bank yang perlu dibayar jika membeli kereta atau rumah sendiri, yang dilihat keperluan asas bagi keluarga Malaysia.

Akibat tekanan dan kesempitan hidup, mereka terpaksa mencari pendapatan tambahan untuk menanggung keluarga masing-masing.

(Untuk rekod gaji pokok pekerja am rendah kerajaan ialah RM480 sebulan, manakala konstabel baru RM690 sebulan).

Oleh itu, tidak mengejutkan apabila kita membaca berita, ada kakitangan awam terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan, memandu teksi atau berniaga di pasar malam selain ada juga kakitangan wanita bekerja sambilan sebagai pelayan pelanggan untuk pendapatan tambahan. Ada juga dikatakan menjual diri untuk menampung gaya hidup mereka.

Tuntutan Cuepacs diperkuatkan lagi dengan hasil kajian Hewitt Associates, iaitu syarikat perunding sumber manusia berpangkalan di Amerika Syarikat, bahawa purata kenaikan gaji di Malaysia tahun lalu ialah 6.2 peratus, berbanding 5.6 peratus pada 2005.

Kajian itu menunjukkan gaji kakitangan sektor swasta terus meningkat walaupun bukan semua syarikat yang berbuat demikian, manakala kakitangan awam tidak menikmati kenaikan gaji sejak 15 tahun lalu.

Walaupun, dalam tempoh 15 tahun itu kita akui kerajaan prihatin dengan memperkenalkan elaun perumahan, elaun khidmat awam (EKA) dan elaun sara hidup (Cola), selain bonus tahunan, gaji pokok yang rendah meletakkan sebahagian besar kakitangan awam dalam kategori di bawah paras kemiskinan.

Ini mengejutkan bagi sebuah negara yang nilai dagangannya sudah mencapai RM1 trilion dan mengejar sasaran menjadi negara maju menjelang 2020.

(Mengikut cadangan Cuepacs, kenaikan gaji bagi Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) ialah lima hingga 10 peratus; Kumpulan Pengurusan profesional (Gred 41 hingga 54) 20 peratus; Kumpulan Sokongan 1 (Gred 17 hingga 40) 30 peratus dan Kumpulan Sokongan 2 (Gred 1 hingga 16) 40 peratus.) Jika diluluskan, kerajaan terpaksa menampung tambahan kos mengurus sehingga RM6 bilion.

Ada pandangan kadar semakan yang diminta Cuepacs, iaitu lima hingga 40 peratus amat besar dan akan membebankan kerajaan. Mungkin kadar yang lebih sesuai ialah antara lima hingga 20 peratus, dengan kakitangan sokongan menikmati kenaikan tertinggi.

Dengan spekulasi pilihan raya umum akan diadakan dalam tempoh setahun dari sekarang, ada juga pandangan kerajaan akan menggunakan tuntutan Cuepacs untuk memancing undi.

Walau apapun pandangan diberikan, sudah ada tanda-tanda kerajaan mula berlembut isu semakan gaji walaupun pada mulanya menolaknya. Keadaan ini tentunya melegakan kaki tangan awam.

Malah, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri dalam perhimpunan bulanan dengan kakitangan Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini, mengakui kerajaan perlu mengkaji permintaan Cuepacs kerana semakan terakhir dibuat lebih sedekad lalu.

Jika anggaran saya betul, kakitangan awam akan mendapat durian runtuh selewat-lewatnya hujung tahun ini, mungkin ketika Perdana Menteri membentangkan Bajet 2008.

No comments: