23 April 2009

Prosedur kerja di pejabat tanah masih menyusahkan orang ramai

Berita Harian

PADA 14 April lalu, kira-kira jam 11.35 pagi saya dan isteri ke Pejabat Tanah dan Galian Melaka Tengah yang terletak di Peringgit Point untuk mendapatkan salinan surat kuasa daripada Bahagian Pesaka Kecil di pejabat berkenaan.

Petugas memberitahu salinan itu boleh didapati dengan bayaran RM2 bagi satu salinan. Namun yang memeranjatkan kami ialah bayaran berkenaan hanya boleh dibuat di Pejabat Tanah di Wisma Negeri iaitu di MITC, Ayer Keroh.

Kemudian timbul lagi masalah apabila kami hendak mendapatkan salinan berkenaan selepas membuat bayaran kerana pegawai berkaitan belum masuk pejabat walaupun jam 2.15 petang.

Dua persoalan timbul. Pertamanya mengapa bayaran perlu dibuat di pejabat lain yang jaraknya melebihi lapan kilometer. Apakah pejabat berkenaan tidak boleh mengutip bayaran hingga perlu mendera pelanggan berulang alik antara dua pejabat itu.

Dengan kemudahan sistem yang semakin canggih sekarang adalah tidak masuk akal untuk berlaku hal berkenaan. Apakah yang terjadi dengan slogan 'Satu Perkhidmatan, Satu Penyampaian, Tiada Pintu Salah' yang diperkenalkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan? Adakah dasar ini hanya dilaksanakan jabatan yang berdekatan dan sentiasa dapat dipantau KSN saja? Sedangkan bagi jabatan yang berada jauh daripada kawalan, slogan ini mungkin hanya menjadi momokan semata-mata.

Perkara kedua ialah berkaitan pegawai yang sering masuk lambat ke pejabat dan menghilangkan diri tidak tentu masa. Petugas berkenaan memberi tahu kami untuk datang semula pada jam 2 petang dan memberi jaminan salinan itu akan siap tanpa sebarang masalah.

Namun apabila kami datang semula pada jam 2.05 petang beliau memberitahu salinan berkenaan belum dapat diserahkan kerana pegawai yang sepatutnya menandatangani salinan itu belum masuk ke pejabat.

Apabila ditanya tiadakah pegawai lain yang boleh menandatangani surat berkenaan, jawapannya tiada. Selepas kami 'naik angin' dan berlaku sedikit pertengkaran, barulah beliau menelefon pegawai lain untuk menandatangani salinan surat itu.

Persoalannya, mengapa perkara yang menyusahkan orang ramai ini masih berlaku di jabatan kerajaan. Di sebalik usaha kerajaan untuk memperbaiki sistem penyampaian kepada pelanggan masih ada yang bertindak seolah-olah mereka paling berkuasa di sesebuah jabatan.

Saya percaya masih ramai yang mengalami perkara yang sama tetapi tidak kuasa mengetengahkannya. Amalan buruk jabatan seperti inilah sebenarnya yang menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat kepada kerajaan.

Mereka menganggap kerajaan gagal mengawasi kakitangannya untuk menjalankan tugasnya dengan baik. Apa yang saya harap ialah Kerajaan Melaka khususnya dapat meneliti perkara ini dan memperbaiki keadaan supaya ia tidak berlarutan.

ANAK MELAKA PERANTAU,
Batu Caves,
Selangor.

12 April 2009

Cuepacs mahu nasib 50,000 dibela

Cuepacs harap kerajaan bantu kakitangan kontrak di sektor awam

MELAKA: Cuepacs mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertindak segera membela nasib kira-kira 50,000 pekerja kontrak sektor awam yang kini berdepan kehilangan pekerjaan apabila kontrak mereka ditamatkan secara berperingkat mulai Jun ini.

Presidennya, Omar Osman, berkata Cuepacs sudah mengutus surat untuk bertemu Perdana Menteri dan masih menunggu jawapan daripadanya.

"Saya merayu supaya kerajaan membela nasib 50,000 anggota sektor awam yang ketika ini berkhidmat secara kontrak atas dasar perikemanusiaan, saya baru dapat aduan di Kelantan ada beberapa kes isteri sudah meninggalkan suami yang ditamatkan pekerjaan.

"Tidak cukup dengan itu, ada keluarga tidak mampu menyekolahkan anak selepas ditamatkan kontrak oleh majikan," katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat khas Majlis Tertinggi Cuepacs, di sini, semalam.

Mesyuarat khas itu sempena sambutan Hari Pekerja Peringkat Cuepacs di Melaka pada 1 Mei ini.

Omar berkata, trend pemberhentian pekerja kontrak banyak berlaku pada peringkat agensi kerajaan negeri dan setakat ini dianggarkan kira-kira 3,000 pekerja kontrak sektor awam seluruh negara sudah diberhentikan, manakala 10,000 lagi akan mengalami nasib sama menjelang 30 Jun ini.

Menurutnya, langkah agensi kerajaan tertentu menswastakan perkhidmatan sejak tahun lalu banyak merugikan pekerja kontrak tempatan sebaliknya memberikan pekerjaan tertentu kepada warga asing.

Omar juga berkata, Cuepacs akan membantu kerajaan membaiki mutu perkhidmatan awam menerusi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dengan menyalurkan laporan salah laku mana-mana ketua jabatan terus kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Sambil menyambut baik usaha Perdana Menteri memperkenalkan KPI, Omar berkata, ia usaha bijak yang boleh membawa kepada penambahbaikan mutu per-khidmatan awam, sekali gus menaikkan moral kakitangan awam.

07 April 2009

Lihat Semua Aspek Sebelum Struktur Semula PDRM - Syed Hamid

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu melihat dari semua aspek sebelum melaksanakan penstrukturan semula pasukan itu termasuk penambahan dua lagi jawatan Timbalan Ketua Polis Negara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata walaupun cadangan penstrukturan sepertimana yang dibangkitkan oleh Ketua Polis Negara baru-baru ini adalah baik namun ada perkara yang lebih penting yang perlu dilakukan polis dalam meningkatkan mutu perkhidmatannya terutama merancang strategi menangani pelbagai kes jenayah.

"Perlu dilihat dari semua aspek bukan sekadar melihat pada kuantiti sahaja.

PDRM perlu merancang strategi untuk memperkukuhkan lagi perkhidmatan mereka terutamanya dalam menjalankan siasatan dan penyelesaian kes," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini Selasa.

Semasa sambutan Hari Polis ke-202, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menyatakan PDRM akan distruktur semula di semua peringkat termasuk penambahan dua lagi jawatan Timbalan Ketua Polis Negara dan penubuhan enam jabatan baru kepada tujuh jabatan yang sedia ada.

Penstrukturan itu, menurut Musa adalah sebahagian daripada usaha untuk memperkasakan PDRM dan akan dilaksanakan sebaik mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Syed Hamid berkata kajian dan penelitian perlu dibuat dengan lebih mendalam sebelum tindakan tersebut dilaksanakan kerana ia membabitkan pelbagai prosedur selain melihat kepada Akta Polis dan Perlembagaan Malaysia.

"Kita perlu mengkajinya sama ada penambahan (Timbalan Ketua Polis Negara) itu benar-benar diperlukan atau sebaliknya. Ini perlu kembali kepada soal dasar dan dirujuk kepada kerajaan," katanya.

Beliau berkata sebagai sebuah pasukan yang menjaga keselamatan rakyat, beberapa perkara asas dalam pasukan perlu dimantapkan antaranya risikan dan mutu latihan yang lebih berkesan.

Katanya jika perkara tersebut dijaga dan dipertingkatkan sudah pasti keyakinan rakyat terhadap pasukan itu akan dapat dikembalikan terutama membabitkan penyelesaian jenayah yang berprofil tinggi.

"Apa sahaja yang dilaksanakan perlu berbalik kepada rakyat. Kita nak rakyat berpuas hati dengan perkhidmatan kita. Jika penstukturan ini dibuat tapi rakyat masih tidak puas hati dengan mutu perkhidmatan yang diberikan, ini tidak akan mendatangkan apa-apa kesan," katanya.



-- BERNAMA

Tiada Kakitangan Jabatan Imigresen Terlibat Pemalsuan Pasport

PENGKALAN KUBUR, 5 April (Bernama) -- Siasatan yang dilakukan Jabatan Imigresen mendapati kakitangannya tidak terlibat dalam sebarang pemalsuan pasport antarabangsa, kata Ketua Pengarahnya Datuk Mahmood Adam.

Beliau berkata kemungkinan apa yang berlaku sebelum ini dengan lima kes terbaru pemalsuan pasport yang dikesan di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Terengganu, dilakukan sindiket antarabangsa dan kini pihknya sedang menyiasat secara terperinci dalang di sebalik pemalsuan itu.

"Jika ada kakitangan (Jabatan) Imigresen yang terlibat kita akan ambil tindakan tetapi dalam siasatan tiada bukti kakitangan kita terlibat terutama dalam lima kes itu dan siasatan terperinci masih dilakukan untuk memburu dalang terbabit," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mahmood sebelum itu mengadakan mesyuarat dengan pengarah-pengarah Imigresen negeri yang bersempadan dengan Thailand iaitu Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis.

Antara lain mesyuarat berkenaan bagi membincangkan masalah-masalah di sempadan termasuk kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) serta aktiviti keluar masuk masyarakat di sempadan.

Katanya dalam lima kes pemalsuan pasport yang dikesan itu individu terbabit hanya meniru luaran pasport tetapi ciri-ciri keselamatan tidak dapat ditiru menyebabkan jabatan itu dapat mengesan ketulenan dokumen berkenaan.

"Sukar untuk memalsukan pasport kita kerana terdapat 35 ciri keselamatan dalam dokumen itu," katanya.

Mahmood berkata pasport Malaysia disifatkan sebagai popular untuk dipalsukan kerana ia menjadi pilihan lebih tiga bilion masyarakat sekitar Asia.

"Ciri-ciri orang Asia seperti dari China atau India sama dengan masyarakat majmuk di negara kita menyebabkan mereka mudah untuk meniru pasport atau meletakkan gambar mereka pada pasport orang lain kerana muka mereka sama macam rakyat Malaysia," katanya.

Menurut Mahmood, jabatan itu turut menjalinkan kerjasama dengan jabatan lain bagi membendung kegiatan berkenaan kerana pemalsuan bukan sahaja melibatkan pasport tetapi termasuk visa serta buku pelaut yang digunakan oleh nelayan untuk menangkap ikan di perairan negara.

"Jika individu terlibat didapati bersalah dalam kegiatan pemalsuan atau peniruan dokumen berkenaan, mereka boleh di dakwa mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rasuah serta Akta Rahsia Rasmi Kerajaan," katanya.

-- BERNAMA

Tidak abai tugas syarat guru mahu aktif politik

Berita Harian

BARU-BARU ini, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mencadangkan guru gred A dibenarkan aktif dalam politik.

Beliau berpendapat, guru adalah golongan yang sangat rapat dan memahami kehendak masyarakat. Idea guru bernas diperlukan bagi mempertingkatkan kualiti hidup masyarakat.

Namun, mampukah guru memikul dua tugas berlainan? Tugas guru ialah mengajar dan membentuk kejayaan pelajar dalam kurikulum dan kokurikulum.

Guru terbabit dengan politik akan dipilih menjadi ketua cawangan, ketua bahagian, setiausaha cawangan atau bahagian, bendahari dan sebagai ahli jawatankuasa biro tertentu.

Biasanya tugas politik menghadiri mesyuarat cawangan, aktiviti dan mencari dana untuk cawangannya. Tugas itu bukan dipikul oleh guru seorang saja. Guru boleh menyerahkan tugas kepada ahli jawatankuasa lain jika ada urusan di sekolah.

Cawangan itu akan mendapat banyak faedah jika guru menduduki jawatankuasa politik cawangannya. Ilmu dan kepakaran guru boleh digembleng bersama tenaga muda kampung. Apa yang penting pembabitan ikhlas bukan untuk kepentingan peribadi.

Wujud juga persoalan, jika guru berpolitik, mereka akan mengabaikan tugas mengajar dan wujud puak di sekolah. Saya berpendapat, jika tidak berpolitik tenaga mereka digunakan untuk kegiatan sukan, kursus dan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan memerlukan mereka meninggalkan kelas.

Biasanya perkara itu diatasi dengan guru itu membuat kelas ganti, khususnya keadaan seumpama itu kerap berlaku pada bulan pertama hingga ketiga persekolahan, iaitu ketika guru sibuk dengan aktiviti kokurikulum yang juga sebahagian tugas di luar kelas yang perlu dilaksanakan.

Masalah kewujudan puak di kalangan guru akibat fahaman politik adalah persepsi saja. Guru adalah pekerja profesional. Berbeza pendapat perkara biasa. Guru tidak seharusnya mengikut emosi dan akal dangkal untuk mempertahankan pendapat atau berbahas mengenai sesuatu dasar kerajaan atau pembangkang.

Guru sepatutnya memberikan idea bernas. Kemampuan mereka membezakan antara tugas pendidik dan jawatankuasa politik cawangan atau bahagian amat dituntut jika sekiranya kerajaan membenarkan mereka memegang jawatan politik.

Saya setuju jika kerajaan membenarkan guru gred A memegang jawatan politik di cawangan dan bahagian.

Jawatan pengerusi, setiausaha, bendahari dan jawatankuasa cawangan politik tidak mungkin diberikan sepenuhnya kepada guru. Hanya guru tertentu yang mempunyai wibawa dilantik cawangan.

Guru terbabit politik wajar diberikan syarat tertentu supaya tidak mengabaikan tugas sebagai pendidik dan pendukung dasar kerajaan.

REZA ALJUNAID,
Negeri Sembilan.

24 March 2009

CUEPACS Tangguh Tuntutan Kenaikan Gaji

PUTRAJAYA, 23 Mac (Bernama) -- Cuepacs akan menangguhkan tuntutan kenaikan gaji bagi 1.2 juta anggota perkhidmatan awam sehingga keadaan ekonomi negara bertambah baik, kata setiausaha agungnya Ahmad Shah Mohd Zin Isnin.

Beliau bagaimanapun berkata kesatuan itu akan terus berunding dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)tentang isu berkaitan penambahbaikan perkhidmatan seperti kenaikan pangkat, ujian penilaian kecekapan, pertukaran dan kerja lebih masa.

Bercakap kepada Bernama di sini, beliau berkata kini, kakitangan awam perlu memberi tumpuan terhadap usaha membantu kerajaan meningkatkan kutipan hasil dan menambah baik sistem penyampaian.

Ahmad berkata Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Pengangkutan Jalan adalah antara jabatan yang boleh membantu meningkatkan jumlah kutipan hasil kerajaan melalui penguatkuasaan lebih ketat.

Beliau menyeru kakitangan awam yang berkhidmat dengan pihak berkuasa tempatan dan majlis bandar raya supaya meningkatkan jumlah kutipan hasil melalui tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya.

Katanya Cuepacs akan memberi sokongan penuh kepada kerajaan kerana kebajikan anggotanya berkait rapat dengan "kesihatan ekonomi" negara.

Mengenai penambahbaikan sistem penyampaian, Ahmad menyeru kakitangan awam supaya bersikap inovatif dalam mencari jalan bagi meningkatkan produktiviti seperti menubuhkan kumpulan kualiti (Kumpulan Q) di jabatan masing-masing.



-- BERNAMA

Faster government projects with e-tender

The Star

KUALA LUMPUR: The Works Ministry has launched an e-tender management system to check bureaucracy and to promote transparency.

Works Minister Datuk Seri Mohd Zin Mohamed said contractors should start using the new system if they do not want to be left out in the tender-bidding process.

“We can reduce the processing time from four months to four weeks when proposals are submitted via the e-tender system, he said.

The system would help develop the National Construction Procurement Repository, the data from which could be used for construction forward procurement, construction price index analysis, construction schedule of rate and national material consumption pattern, he added.

Mohd Zin said this after launching the national e-Tendering Initiative at the CIDB convention centre here yesterday where 97 projects worth RM3.3mil were given out via the balloting process.

Projects could be approved faster with greater efficiency using the e-tender system that was created by the Works Department and the Construction Industry Development Board.

Mohd Zin said the tenders are advertised online at www.etender.com.my and in the mainstream media.

The Tender Opening Committee will evaluate tenders online.

CIDP e-Construct Services acting chief executive officer Dr Idzuan Alias said the system was as secure as e-banking, where bid for tenders could also be done online at real time.

Earlier in his speech, Mohd Zin called on Class F contractors to upgrade their status as it was impossible for the government to create jobs for all of them.

Furthermore, of the 40,000 Class F contractors only 17,000 are really active, he said.

20 March 2009

JPA Akan Kaji Semula Format PTK

PUTRAJAYA, 20 Mac (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi jaminan kepada Cuepacs bahawa ia dalam proses mengkaji semula cadangan balas kongres itu mengenai Peperiksaan Tahap Kecekapan (PTK).

Ketua pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam memberikan jaminan itu kepada Setiausaha agung Cuepacs Ahmad Shah Mohd Zin pada dialog pertemuan antara ekdua-dua pihak di sini semalam.

Ahmad Shah berkata PTK merupakan satu isu yang sering dibangkitkan dan dipersoalkan di kalangan kakitangan kerajaan dan kebanyakan mereka tidak berpuas hati dengan format peperiksaan sekarang.

Beliau berkata Cuepacs telah mencadangkan bahawa peperiksaan itu hendaklah berdasarkan kepada skop tugasan seseorang kakitangan dan lebih khusus kepada menguji kemampuan mereka dalam menjalankan tugas hariannya.

Kini peperiksan itu terlalu umum dan sesetengah soalan itu tidak ada kaitan dengan skop tugasan seseorang dalam peperiksaan yang diambil.

Ahmad Shah berkata pertemuan itu juga membincangkan isu kenaikan pangkat untuk kakitangan sokongan dalam gred satu hingga 16.

Beliau berkata isu ini juga sedang dikaji oleh JPA.

Isu lain yang dibincangkan pada pertemuan yang dihadiri 30 anggota majlis eksekutif Cuepacs dan 20 pegawai JPA diketuai oleh ketua masing-masing, jawatan khas untuk penyandang, kontrak dan jawatan pegawai sementara dan isu gaji untuk guru pemegang diploma.

Mengenai pegawai kontrak, Ahmad Shah berkata tidak ada masalah pada peringkat persekutuan kerana kerajaan telah memutuskan bahawa perkhidmatan pegawai ini tidak akan ditamatkan.

Bagaimanapun, isu ini kritikal pada peringkat negeri kerana sesetengah kerajaan negeri belum lagi respon kepada pertanyaan Cuepacs.

Mengenai isu kenaikan pangkat untuk guru pemegang diploma, beliau berkata JPA memutuskan dengan apa sahaja yang diberikan oleh Kementerian Pelajaran.

Kini keputusan di tangan Kementerian Pelajaran untuk menyediakan cadangan dan input seterusnya mengenai isu ini, kata beliau.

Ahmad menyifatkan dialog itu sangat berhasil kerana banyak isu segera yang dihadapi perkhidmatan awam dibincangkan dalam suasana kemesraan.

-- BERNAMA

PM Cadang Program Penugasan Sementara Sektor Awam-swasta

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mencadangkan supaya pegawai dari sektor awam berkhidmat secara penugasan sementara dengan sektor swasta, dan sebaliknya.

Perdana Menteri berkata program seperti itu akan membolehkan pegawai serta eksekutif dari sektor awam dan swasta saling menimba pengalaman dan mempelajari persekitaran kerja satu sama lain.

Abdullah berkata penugasan seperti itu akan memberi manfaat bersama dan mewujudkan persefahaman yang lebih baik antara mereka serta menyumbang kepada kecekapan, daya saing dan tadbir urus yang lebih baik.

"Saya fikir adalah sangat bermanfaat untuk sektor awam dan swasta menimba pengalaman seperti itu," katanya ketika berucap pada majlis jamuan bersama anggota Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) di sini Khamis malam.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara dan Pengerusi Bersama Pemudah Tan Sri Sidek Hassan dan bekas presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia yang juga pengerusi bersama Pemudah Tan Sri Yong Poh Kon.

Pemudah ditubuhkan pada 7 Feb 2007 dan melaporkan secara terus kepada Perdana Menteri. Pasukan itu terdiri daripada 23 orang yang amat dihormati dari sektor awam dan swasta.

Antara lain tugasnya berhubung kait dengan penyemakan status sistem penyampaian khidmat awam daripada segi proses, prosedur, perundangan dan sumber manusia ke arah memperkenalkan penambahbaikan, mengkaji amalan terbaik dalam sektor swasta yang boleh diguna pakai oleh sektor awam dan menyelaraskan program merentasi agensi sektor awam ke arah meningkatkan daya saing Malaysia.

Abdullah juga berkata tidak mustahil untuk Malaysia berada antara 10 ekonomi paling berdaya saing dan tadbir urus yang baik serta cekap, asalkan setiap orang bekerja keras.

"Saya tahu dengan mengamalkan semangat ini dalam perkongsian sektor awam dan swasta, perkara ini akan membuahkan hasil," katanya.

Mengenai Pemudah, Abdullah berkata beliau berasa amat gembira dengan sumbangan dan kejayaan yang dicapai oleh pasukan itu sehingga kini, sambil menambah semasa Pemudah mula diwujudkan, terdapat jangkaan tinggi untuk pasukan itu menghasilkan beberapa keputusan yang baik dalam meningkatkan sistem penyampaian awam.

"Di sini saya ingin mengiktiraf anggota sektor awam yang memberikan respons positif kepada cadangan dan maklum balas daripada sektor swasta serta Pemudah. Saya juga ingin lihat perkongsian ini berkembang dan diperkukuhkan," katanya.



-- BERNAMA

1,000 Siswazah Akan Dilantik Sebagai Guru Kontrak - Hishammuddin

PUTRAJAYA, 20 Mac (Bernama) -- Kementerian Pelajaran akan melantik seramai 1,000 orang siswazah sebagai guru sekolah secara kontrak berikutan peruntukan kerajaan sebanyak RM48 juta bagi program Tenaga Pengajar Secara Kontrak seperti yang diumumkan di dalam mini bajet baru-baru ini, kata Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata peluang ini dibuka kepada semua peringkat pencari kerja, sama ada di kalangan graduan baru atau mereka yang sedang mencari pekerjaan, yang proses pengambilannya akan bermula dalam tempoh terdekat.

"Tawaran akan dikeluarkan di portal Kementerian Pelajaran sedikit masa lagi dan pengambilan guru-guru kontrak ini akan melibatkan semua jenis dan kategori sekolah, sama ada Sekolah Rendah atau Menengah di seluruh negara.

"Ia akan turut melibatkan keperluan untuk melantik guru di semua jenis sekolah di seluruh negara termasuk Sekolah Sukan, Sekolah Menengah Teknik, Sekolah Agama dan lain-lain lagi," katanya di dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata guru yang terpilih dijangka dapat memulakan perkhidmatan selewat-lewatnya Mei tahun ini.

Hishammuddin berkata kementeriannnya sedang menunggu syarat-syarat pelantikan yang sedang diselaraskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi digunakan oleh semua kementerian.

"Kementerian bagaimanapun telah membuat persediaan bagi membuat pelantikan ini demi memastikan segala keputusan yang dihasratkan menerusi pakej rangsangan ekonomi kedua dapat dilaksanakan seberapa segera," katanya.

Katanya daripada keseluruhan peruntukan RM60 bilion di bawah pakej itu, sebanyak RM2.093 bilion diperuntukkan oleh kerajaan untuk bidang pendidikan, meliputi RM1.949 bilion untuk Pembangunan Pendidikan dan RM144 juta untuk Belanja Mengurus bagi manfaat semua sekolah di seluruh negara.

Katanya Pembangunan Pendidikan melibatkan RM36.3 juta untuk Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI), RM1.432 bilion untuk Ubah Suai Naik Taraf Rendah, RM128.7 juta Ubah Suai Naik Taraf Menengah, RM164.1 juta Infrastruktur Sokongan Pendidikan, RM18.2 juta Perabot dan Peralatan dan RM169.6 juta Pembaikan dan Penyelenggaraan Sekolah dan Kemudahan Sekolah.

Manakala agihan RM144 juta itu (Belanja Mengurus) melibatkan RM6 juta untuk program Pegawai Kontrak, RM48 juta program Tenaga Pengajar Secara Kontrak, RM40 juta program Smartboards dan RM50 juta Kokurikulum, katanya.

Hishammuddin berkata Kementerian Pelajaran turut menyambut baik kenyataan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Mansor untuk menempatkan 3,000 siswazah yang mempunyai kelulusan dalam bidang ICT untuk ditempatkan di sekolah-sekolah di seluruh negara yang mempunyai jaringan internet bagi membantu menjayakan inisiatif ICT.

Beliau juga berterima kasih atas langkah Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi untuk mempertingkatkan keupayaan sistem Internet di 3,000 buah sekolah di seluruh negara yang mempunyai jaringan Internet (Schoolnet).

"Saya berharap usaha ini dapat membantu meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran secara online sekaligus merangkaikan warga sekolah di seluruh negara secara interaktif melalui Schoolnet.

"Langkah ini juga dilihat dapat membantu dan memberi manfaat kepada siswazah yang mempunyai kelulusan ICT khususnya yang menganggur ketika ini," katanya.

-- BERNAMA