07 April 2009

Lihat Semua Aspek Sebelum Struktur Semula PDRM - Syed Hamid

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu melihat dari semua aspek sebelum melaksanakan penstrukturan semula pasukan itu termasuk penambahan dua lagi jawatan Timbalan Ketua Polis Negara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata walaupun cadangan penstrukturan sepertimana yang dibangkitkan oleh Ketua Polis Negara baru-baru ini adalah baik namun ada perkara yang lebih penting yang perlu dilakukan polis dalam meningkatkan mutu perkhidmatannya terutama merancang strategi menangani pelbagai kes jenayah.

"Perlu dilihat dari semua aspek bukan sekadar melihat pada kuantiti sahaja.

PDRM perlu merancang strategi untuk memperkukuhkan lagi perkhidmatan mereka terutamanya dalam menjalankan siasatan dan penyelesaian kes," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini Selasa.

Semasa sambutan Hari Polis ke-202, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menyatakan PDRM akan distruktur semula di semua peringkat termasuk penambahan dua lagi jawatan Timbalan Ketua Polis Negara dan penubuhan enam jabatan baru kepada tujuh jabatan yang sedia ada.

Penstrukturan itu, menurut Musa adalah sebahagian daripada usaha untuk memperkasakan PDRM dan akan dilaksanakan sebaik mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Syed Hamid berkata kajian dan penelitian perlu dibuat dengan lebih mendalam sebelum tindakan tersebut dilaksanakan kerana ia membabitkan pelbagai prosedur selain melihat kepada Akta Polis dan Perlembagaan Malaysia.

"Kita perlu mengkajinya sama ada penambahan (Timbalan Ketua Polis Negara) itu benar-benar diperlukan atau sebaliknya. Ini perlu kembali kepada soal dasar dan dirujuk kepada kerajaan," katanya.

Beliau berkata sebagai sebuah pasukan yang menjaga keselamatan rakyat, beberapa perkara asas dalam pasukan perlu dimantapkan antaranya risikan dan mutu latihan yang lebih berkesan.

Katanya jika perkara tersebut dijaga dan dipertingkatkan sudah pasti keyakinan rakyat terhadap pasukan itu akan dapat dikembalikan terutama membabitkan penyelesaian jenayah yang berprofil tinggi.

"Apa sahaja yang dilaksanakan perlu berbalik kepada rakyat. Kita nak rakyat berpuas hati dengan perkhidmatan kita. Jika penstukturan ini dibuat tapi rakyat masih tidak puas hati dengan mutu perkhidmatan yang diberikan, ini tidak akan mendatangkan apa-apa kesan," katanya.



-- BERNAMA

No comments: