07 April 2009

Tiada Kakitangan Jabatan Imigresen Terlibat Pemalsuan Pasport

PENGKALAN KUBUR, 5 April (Bernama) -- Siasatan yang dilakukan Jabatan Imigresen mendapati kakitangannya tidak terlibat dalam sebarang pemalsuan pasport antarabangsa, kata Ketua Pengarahnya Datuk Mahmood Adam.

Beliau berkata kemungkinan apa yang berlaku sebelum ini dengan lima kes terbaru pemalsuan pasport yang dikesan di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Terengganu, dilakukan sindiket antarabangsa dan kini pihknya sedang menyiasat secara terperinci dalang di sebalik pemalsuan itu.

"Jika ada kakitangan (Jabatan) Imigresen yang terlibat kita akan ambil tindakan tetapi dalam siasatan tiada bukti kakitangan kita terlibat terutama dalam lima kes itu dan siasatan terperinci masih dilakukan untuk memburu dalang terbabit," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mahmood sebelum itu mengadakan mesyuarat dengan pengarah-pengarah Imigresen negeri yang bersempadan dengan Thailand iaitu Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis.

Antara lain mesyuarat berkenaan bagi membincangkan masalah-masalah di sempadan termasuk kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) serta aktiviti keluar masuk masyarakat di sempadan.

Katanya dalam lima kes pemalsuan pasport yang dikesan itu individu terbabit hanya meniru luaran pasport tetapi ciri-ciri keselamatan tidak dapat ditiru menyebabkan jabatan itu dapat mengesan ketulenan dokumen berkenaan.

"Sukar untuk memalsukan pasport kita kerana terdapat 35 ciri keselamatan dalam dokumen itu," katanya.

Mahmood berkata pasport Malaysia disifatkan sebagai popular untuk dipalsukan kerana ia menjadi pilihan lebih tiga bilion masyarakat sekitar Asia.

"Ciri-ciri orang Asia seperti dari China atau India sama dengan masyarakat majmuk di negara kita menyebabkan mereka mudah untuk meniru pasport atau meletakkan gambar mereka pada pasport orang lain kerana muka mereka sama macam rakyat Malaysia," katanya.

Menurut Mahmood, jabatan itu turut menjalinkan kerjasama dengan jabatan lain bagi membendung kegiatan berkenaan kerana pemalsuan bukan sahaja melibatkan pasport tetapi termasuk visa serta buku pelaut yang digunakan oleh nelayan untuk menangkap ikan di perairan negara.

"Jika individu terlibat didapati bersalah dalam kegiatan pemalsuan atau peniruan dokumen berkenaan, mereka boleh di dakwa mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rasuah serta Akta Rahsia Rasmi Kerajaan," katanya.

-- BERNAMA

No comments: