Mentransformasi kakitangan awam kikis tanggapan negatif
Berita Harian
KAKITANGAN kerajaan, terutama yang banyak berinteraksi dengan orang ramai acap kali dilabel tidak mesra, lembap, malas, tidak boleh berkomunikasi dengan baik, gagal mengawal perasaan, kurang pengetahuan dan berkemahiran. Adil dan wajarkah tuduhan itu terus-terusan dilemparkan dengan dilabel sebegitu?
Sejauh mana Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilancarkan sejak April tahun lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mentransformasikan kerajaan supaya lebih efektif dalam penyampaian perkhidmatan dan bertanggungjawab atas keberhasilan yang menjadi keutamaan kepada rakyat serta memacu negara ke arah melahirkan masyarakat maju, bersatu padu dan saksama dengan standard kehidupan lebih tinggi bergerak sejajar dengan objektifnya.
Selepas hampir setahun GTP dan enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dilancarkan, sejauh mana pencapaiannya? Hakikatnya kecekapan dan keupayaan 'orang kerajaan' itu sudah menampakkan hasilnya, cuma memerlukan pacuan gear semaksimumnya.
Hakikatnya, transformasi itu perlu untuk memastikan peratusan reaksi negatif masyarakat terhadap produktiviti, prosedur, birokrasi dan amalan tertentu terhadap golongan itu dapat dimaksimumkan. Justeru, inilah cabaran besar yang perlu diharungi kira-kira 1.2 juta penjawat awam dengan pelaksanaan disegerakan dengan lebih berkesan.
Ketua Jabatan Pentadbiran dan Keadilan Sosial, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Dr Haris Abdul Wahab, melihat GTP itu wajar sebagai penanda aras serta kayu pengukur ke arah perubahan transformasi kakitangan awam yang lebih cekap, ada kredibiliti dan berdaya maju, sekali gus menimbulkan kesejahteraan kepada masyarakat secara keseluruhan.
Bukan tugas mudah untuk menggemblengkan sepenuhnya sektor awam ini kerana banyak penambahbaikan perlu dilakukan dan secalit kesilapan dilakukan, menjadikan keyakinan masyarakat luntur dan akan terus menempelak penyampaian perkhidmatan mereka.
Pandangan negatif masyarakat itu boleh ditepis dengan memastikan semua kakitangan kerajaan membantu masyarakat menangani masalah sosial yang berlaku di negara ini seperti isu kemiskinan, pengangguran, keruntuhan moral, pelbagai jenayah daripada yang sekecil-kecil hingga yang besar. Kesediaan kakitangan awam untuk mengurus dan mengawal masalah sosial dianggap sebagai input penambahbaikkan dalam pelaksanaan program lebih bersistematik untuk masyarakat.
Haris menjelaskan, sektor awam mempunyai kementerian dan jabatan yang mempunyai peranan masing-masing.
"Setiap jabatan boleh membantu mencungkil peluang serta mengenal pasti keperluan masyarakat umpamanya dari segi pendidikan, kesihatan dan pekerjaan. Pada masa sama, kakitangan sektor awam seharusnya menunjukkan keupayaan dalam mengenal pasti peluang untuk memajukan mobiliti sosial masyarakat. Saya percaya sekiranya semua aspek ini dapat dilaksanakan, masyarakat tidak lagi melabelkan penjawat awam sebagai gagal dan tidak berupaya membangunkan kehidupan masyarakat," katanya.
Bagaimanapun, semua pencapaian keberhasilan GTP yang lebih berkesan dapat direalisasikan dengan menambah kemahiran dan pengetahuan anggotanya di semua peringkat selari dengan aspirasi Wawasan 2020 ke arah mencapai status negara maju.
"Setiap warga kerja seharusnya memperlengkapkan diri dengan pengetahuan bidang tugas masing-masing. Aspek kemahiran dari segi interaksi dengan pelanggan, bijak mengawal perasaan dan lebih memberi layanan mesra sentiasa diterapkan dalam diri.
"Sikap yang lebih positif itu adalah keutamaan dalam membantu hasrat kerajaan untuk proses GTP dengan jayanya. Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian saya, dapat dilihat sesetengah jabatan terutama yang kerap berurusan dengan orang ramai seperti Jabatan Imigresen dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah semakin baik.
"Jika dulu ramai yang merungut dengan sikap kurang profesional kakitangan, lembap dan tidak mesra tetapi semakin kurang," katanya.
Pada masa sama, pelbagai prosedur, proses kerja dan birokrasi yang membelenggu setiap jabatan itu memerlukan pengubahsuaian supaya selaras antara jabatan dan agensi.
Pengorbanan tenaga, masa dan buah fikiran kakitangan sektor awam pasti tidak menjadi bahan momokan sekiranya mereka ingin menuntut kenaikan pangkat atau gaji jika mampu mempamerkan keupayaan sebenar sebagai ganjaran prestasi serta peningkatan produktiviti.
No comments:
Post a Comment