22 February 2010

Muhammad Shahrul Ikram Dilantik Pengerusi IAEA

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Duta Malaysia ke Qatar, Datuk Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, dilantik sebagai pengerusi baru Lembaga Gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Muhammad Shahrul Ikram dilantik secara sebulat suara pada mesyuarat khas lembaga itu pada 12 Feb lalu dan beliau akan berkhidmat sebagai pengerusi lembaga ITU sehingga September ini.

Wisma Putra, dalam kenyataan hari ini, berkata pencalonan Muhammad Shahrul Ikram itu diluluskan oleh kumpulan Asia Tenggara dan Pasifik (SEAP) di mana Malaysia menjadi anggota kumpulan itu.

Beliau merupakan seorang diplomat kanan dan biasa dengan tugasan dalam badan antarabangsa itu selepas pernah berkhidmat sebagai Wakil Gilir Residen Malaysia ke IAEA dari tahun 2002 hingga 2005.

Beliau juga telah berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Politik Multilateral di Kementerian Luar dari 2005 hingga 2007 yang bertanggungjawab antara lain dalam hal ehwal IAEA, kata Wisma Putra.

-- BERNAMA

No comments: