23 February 2010

Kemampuan Perkhidmatan Awam Lebih Penting Daripada Soal Jantina: Najib

SIBU, 23 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kemampuan perkhidmatan awam untuk melaksanakan dan memenuhi jangkaan kerajaan dan rakyat lebih penting daripada kebimbangan sesetengah pihak mengenai penguasaan penjawat wanita yang semakin meningkat sekarang.

Perdana Menteri berkata beliau tidak hairan wanita akan menjadi bilangan yang terbesar, daripada segi pengambilan baru ke perkhidmatan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD), dalam jangka waktu terdekat, jika trend lebih ramai wanita masuk universiti berterusan.

"Soal jantina tidak penting, yang penting sekali ialah hasil dan pencapaian perkhidmatan awam," katanya pada sidang akhbar di akhir lawatan dua hari ke Sarawak Selasa.

Sebelum itu beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, menghadiri makan tengah hari sempena Tahun Baru Cina bersama masyarakat Tionghua Sibu.

Perdana Menteri diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, semalam bahawa trend masa kini yang menunjukkan semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan kanan itu mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara.

Ahmad Shah turut berkata perkara itu bertentangan dengan polisi kerajaan yang memperuntukkan hanya 30 peratus jawatan pembuat keputusan kepada kaum wanita.

Najib berkata tentu sekali pemohon wanita lebih ramai kerana puratanya bilangan mereka yang memasuki universiti adalah dalam lingkungan 65 peratus daripada bilangan pelajar selain perlu mempunyai ijazah pertama sekurang-kurangnya untuk menyertai perkhidmatan PTD.

Mengenai cadangan kerajaan pusat untuk membantu membawa kembali jenazah 22 orang askar berasal dari Sarawak yang dikebumikan di Semenanjung untuk disemadikan di negeri ini, beliau berkata pihak berkenaan sedang menunggu persetujuan daripada keluarga masing-masing.

Ketika berucap pada program Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Ugap Seribu di Nanga Tada, Kanowit, 80 km dari sini hari ini, beliau berkata askar-askar berkenaan, yang merupakan renjer dan peninjau, telah terkorban semasa mempertahankan negara daripada ancaman komunis dahulu.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud telah bersetuju untuk menyedia satu tapak manakala kerajaan sedang mencari peraturan untuk menyemadikan jenazah tersebut, katanya.

-- BERNAMA

No comments: