09 February 2010

PDRM sasar 20 peratus pegawai polis wanita

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyasarkan 20 peratus kenaikan pangkat anggota wanitanya kepada status pegawai, termasuk hingga peringkat pembuat dasar dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) mulai tahun ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, pegawai polis wanita akan diberi peluang untuk mengetuai cawangan dan unit dalam PDRM selaras dengan dasar 30 peratus pembabitan wanita dalam membuat dasar dan keputusan.

Katanya, ia sebagai mengiktiraf peranan dan sumbangan anggota wanita dalam pasukan keselamatan itu, selain didorong kemampuan mereka untuk bersaing dengan pegawai dan anggota lelaki.

“Ia (sasaran) jauh lebih tinggi dari peratusan sedia ada iaitu 11 peratus. Justeru, dengan adanya pendekatan seperti ini, peluang untuk kenaikan pangkat anggota wanita kepada pegawai cukup besar, bergantung kepada kelayakan dan kebolehan dimiliki mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Seminar Pegawai Kanan Polis Wanita 2010 di Maktab PDRM, Cheras di sini, semalam.

Majlis disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Musa berkata, semua anggota akan diberikan peluang kenaikan itu tetapi mereka perlu menunjukkan komitmen kepada pasukan tanpa sebarang kekangan hidup.

PDRM ketika mempunyai dua pegawai wanita berpangkat Senior Asisten Komisioner Polis I dan tiga Senior Asisten Komisioner Polis II.

Sementara itu, Shahrizat berkata, kementerian sedang memperincikan pindaan kepada Akta Keganasan Rumah Tangga dengan kerjasama PDRM.

“Ia bagi mengenal pasti kaedah yang boleh diguna pakai dalam membantu wanita dan kanak-kanak teraniaya, termasuk membuat laporan atau aduan melalui SMS.

“Pindaan itu bertujuan menjadikan akta berkenaan lebih komprehensif, termasuk memberikan penekanan terhadap aspek mental wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan suami atau ibu bapa mereka.

“Kajian termasuk kuasa polis dalam menjalankan siasatan kes yang sebelum ini hanya bertumpu kepada keadaan fizikal mangsa tanpa mengambil kira kesan trauma mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shahrizat mengumumkan kementeriannya akan menyumbang sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Keluarga Polis Diraja Malaysia (Perkep) supaya lebih banyak aktiviti boleh dibuat bagi memantapkan sistem kepolisan negara.

No comments: