09 February 2010

JPA kaji naik kadar pemberian sagu hati rejimen pakar ATM

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan sedang mengkaji untuk menaikkan kadar pemberian sagu hati tahunan dan pemberian pakar kepada unit rejimen pakar Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu adalah sebahagian daripada usaha kementerian untuk menambah baik kadar elaun angkatan sukarela selepas tempoh sembilan tahun, termasuk bagi pegawai staf dan pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) yang aktif menghadiri latihan dan memenuhi syarat yang ditetapkan.

“Dengan insentif sedemikian, ia akan dapat membantu melonjakkan semangat mereka dan menunjukkan kerajaan dan kementerian prihatin agar pasukan sukarela sentiasa terbela,” katanya selepas menerima lawatan kira-kira 100 anggota delegasi Palapes dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Kementerian Pertahanan di sini, semalam.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar; Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Rodzali Daud dan lapan Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor merangkap Komandan Palapes IPTA tempatan.

Ahmad Zahid berkata, kementeriannya memperuntukkan RM8.2 juta setiap tahun untuk perbelanjaan mengurus 25 unit Palapes seluruh negara, termasuk elaun latihan sebanyak RM2,425 bagi setiap anggota sebagai insentif atas dasar sukarela dan keaktifan mereka menghadiri latihan ketenteraan.

Beliau berkata, sebanyak 15 daripada 20 IPTA sudah menubuhkan Palapes masing-masing yang terdiri daripada 3,963 anggota dari 12 unit Palapes darat, tujuh laut dan enam udara.

“Kita beriltizam menambah kira-kira 1,200 anggota Palapes baru di lima lagi IPTA dalam tempoh dua tahun seperti yang ditetapkan dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian yang dijangka membabitkan kos sebanyak RM10 juta,” katanya

No comments: