10 February 2010

CUEPACS Tuntut Kerja Lebih Masa Dibayar Tunai

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menuntut agar kakitangan awam diberi bayaran tunai untuk kerja lebih masa berbanding diberi cuti rehat, kata Setiausaha Agungnya Ahmad Shah Mohd Zin.

Katanya hampir 50,000 kakitangan sokongan dari pelbagai jabatan kerajaan dan badan-badan berkanun diberi cuti rehat untuk kerja lebih masa sejak Disember tahun lepas.

"Untuk setiap lapan jam kerja lebih masa mereka akan diberi satu hari cuti," katanya kepada Bernama.

"Kami menganggap ia satu ekspoitasi, dan mahu kerajaan membuat tindakan segera untuk menghentikan amalan ini kerana ia akan melunturkan semangat pekerja dan menjejaskan produktiviti mereka," katanya.

CUEPACS, katanya, akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam untuk menyelesaikan isu itu.

Bernama difahamkan langkah sedemikian dilaksanakan untuk 'mengurangkan kos' dan juga untuk 'meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan' jabatan-jabatan berkenaan.

"Sasaran kerja kini adalah lebih tinggi dan kami memerlukan kerjasama dari kakitangan kita untuk bekerja lebih masa," kata seorang ketua jabatan.

"Bagaimanapun, peruntukan untuk kerja lebih masa adalah tidak mencukupi, jadi kami memperkenalkan sistem ini dengan menawarkan cuti," jelasnya.

"Kecuali untuk beberapa orang pekerja, kebanyakan daripada mereka bersetuju dengan peraturan itu kerana mahu mencapai sasaran kerja yang ditetapkan dan meningkatkan sistem penyampaian sejajar dengan dasar kerajaan sekarang," tambah beliau.

-- BERNAMA

No comments: