Enam Penjawat Awam Dihadapkan Ke Mahkamah Kerana Rasuah
KUANTAN, 10 Feb (Bernama) -- Enam penjawat awam, secara berasingan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu terhadap pertuduhan menerima rasuah melibatkan kes pengeluaran pasir dan bahan batuan.
Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan masing-masing.
Muhammad Nur Irwan Ramly, 31, Penolong Pegawai Tanah di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuantan didakwa menerima RM1,500 daripada Mat Seman Yusoff melalui Azhar Ismail sebagai dorongan untuk melindungi kegiatan pengeluaran bahan batuan secara tidak sah di Kuari Batu Panching di Restoran TB Corner Ikan Bakar, Tanjung Lumpur di sini pada pukul 9.55 malam, 13 Julai tahun lepas.
Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan 15 Mac bagi sebutan semula kes itu.
Pekerja Rendah Awam di PTG Kuantan, Azmi Othman, 40, pula didakwa menerima RM500 daripada Mat Seman melalui Azhar sebagai dorongan tidak mengganggu operasi pengeluaran pasir di Kampung Pasir Kemudi, Jalan Sungai Lembing, di sini di Restoran Zuzana Indera Mahkota di sini pada pukul 6.15 petang, 25 Jun tahun lepas.
Azmi juga didakwa menerima RM850 daripada Mat Seman melalui Azhar sebagai balasan tidak mengganggu operasi pengeluaran bahan batuan secara tidak sah di lombong kuari Batu Panching di Restoran Ana Ikan Bakar Petai di sini pada 7 malam, 8 Julai tahun lepas.
Hakim Mohd Fadir Harun menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan 26 April sebagai tarikh bicara.
Pekerja Rendah Awam di PTG Kuantan, Zakaria Mohamad, 49, pula menghadapi dua pertuduhan menerima masing-masing RM300 dan RM500 daripada Mat Seman melalui Azhar sebagai dorongan tidak mengganggu operasi pengeluaran pasir di Kampung Pasir Kemudi, Jalan Sungai Lembing, Kuantan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Restoran Zuzana di sini pada 11.30 pagi, 23 Jun 2009 dan di Restoran Bukit Bay Route, Kuantan pada pukul 1.45 petang, keesokkan harinya.
Hakim Habibah Mohamed Yusof menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan 25 Feb sebagai tarikh sebutan semula.
Sementara itu, seorang anggota polis trafik Ab Malek Sulaiman, 42, dari cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Pahang menghadapi tiga pertuduhan menerima RM500 daripada Teoh Ting Keong sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap lori-lori mengangkut pasir Teoh, di mana tuduhan pertama dia didakwa melakukan kesalahan itu di kafe Hotel Seri Malaysia Kuantan pada 5 Nov 2009 pada pukul 5.44 petang.
Dia turut didakwa menerima RM500 daripada Teoh bagi tujuan yang sama di kafe Hotel Megaview Kuantan pada pukul 3.39 petang, 12 Dis tahun lepas dan menerima RM500 daripada Teoh melalui Lans Kpl Irwan Ishak di kafe Hotel Seri Malaysia di sini pada pukul 12.30 tengah hari, 19 Jan lepas.
Hakim Irwan Suaibon menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan 3 Mac untuk sebutan semula kes.
Rakan setugas Ab Malek, Mahir Epandi Ahmad, 49, pula menghadapi dua pertuduhan menerima masing-masing RM500 daripada Teoh di kafe Hotel Seri Malaysia di sini pada pukul 5.16 petang, 10 Julai tahun lepas dan pada 11.20 pagi, 6 Ogos 2009 di tempat yang sama sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap lori-lori mengangkut pasir Teoh.
Hakim Siti Aminah Ghazali mengenakan jaminan RMRM3,000 dengan seorang penjamin dan 1 Mac untuk sebutan semula kes.
Penolong Pegawai Tanah Rozlan Md Amin, 56, dari PTG Kuantan pula didakwa menerima RM1,500 daripada Mat Seman melalui Ibrahim Othman sebagai dorongan untuk melindungi kegiatan pengeluaran bahan batuan di lombong kuari Batu Panching.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bilik nombor 105 Hotel MS Garden Kuantan pada 2.20 petang, 1 Julai tahun lepas.
Hakim Hassan Abdul Ghani membenarkan dia diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh bicara dari 16 hingga 30 April.
Sementara itu, Rozlan turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Temerloh pada Rabu kerana didakwa menerima RM1,000 daripada Mat Seman bagi tujuan yang sama di Restoran McDonald's, Mentakab pada pukul 5 petang, 19 Jan lepas.
Hakim Azuar Che Yusoff membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan mengarahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan untuk dibicarakan serentak dengan kes pertama.
Keenam-enam mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Kesemua tertuduh membayar ikat jamin masing-masing.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment