19 January 2010

Long See Wool Dilantik Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) Kementerian Pengangkutan Datuk Long See Wool dilantik sebagai Ketua Setiausaha kementerian berkenaan mulai 26 Jan ini, menggantikan Datuk Seri Zakaria Bahari yang akan tamat tempoh perkhidmatan pada 25 Jan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata pelantikan Long, 55, dibuat berdasarkan pengalaman luas beliau dalam bidang pengurusan pengangkutan.

"Saya percaya pengalaman dan pengetahuan mendalam beliau mengenai polisi dan pengurusan pengangkutan akan membolehkan Datuk Long See Wool mengetuai Kementerian Pengangkutan dengan penuh integriti dan efisien bagi mencapai 'outcome' yang dipertanggungjawabkan.

"Ini termasuk membantu merealisasikan hasrat kerajaan untuk menyediakan rangkaian sistem pengangkutan awam yang komprehensif bagi memenuhi keperluan rakyat, seperti yang digariskan di bawah salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA)," kata Sidek.

Long yang dilahirkan di Bukit Fraser, Pahang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sejarah/Hubungan Antarabangsa dari Universiti Malaya (UM).

Beliau telah bertugas di kementerian berkenaan pada keseluruhan karier perkhidmatannya sebaik saja menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 26 Nov 1979.

Antara jawatan yang dipegang Long di kementerian itu ialah Penolong Setiausaha (1979-1983), Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Udara (1983-2002), Setiausaha Bahagian Udara (2002-2006), dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) mulai 1 Nov 2006.

-- BERNAMA

No comments: