18 January 2010

Mohon bela nasib bakal guru

Utusan Online

SAYA merupakan wakil bakal guru yang mengambil Program Pengkhususan Sekolah Rendah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ambilan sesi 2005/2006 terpanggil untuk mengulas laporan Utusan bertarikh 15/01/2010 bertajuk ‘IPTA tidak patut tawar pengajian guru sekolah rendah.’

Sebelum itu saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) kerana telah bertungkus lumus menyelesaikan masalah penempatan guru, terutamanya guru di sekolah rendah yang kini mengalami masalah penempatan terutamanya bagi lepasan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Saya ingin mengulas kenyataan Dr. Mohd. Puad yang menyatakan: “Sepatutnya universiti berkaitan tidak boleh buat program pengkhususan sekolah rendah sebab lulusan IPTA perlu mengajar di sekolah menengah.”

Untuk makluman beliau, kewujudan pengkhususan Pendidikan Sekolah Rendah di UPSI bermula pada tahun 2003 dan berakhir pada sesi pertengahan tahun 2006. Dijangka kumpulan terakhir akan menamatkan pengajian tahun ini.

Sewaktu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memegang jawatan Menteri Pelajaran, masalah penempatan guru ini pernah diajukan, terutamanya isu penempatan sekolah menengah apabila KPM mengambil lulusan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) bagi ditempatkan di sekolah menengah sebelum maktab dinaik taraf menjadi Institut Pendidikan Guru (IPG) pada tahun 2006.

Bagi menyelesaikan masalah tersebut, Hishammuddin pada ketika itu telah membuat pengumuman di Dewan SITC UPSI pada tahun 2006 berkenaan IPG akan mengambil ahli Pengkhususan Sekolah Rendah manakala IPT untuk sekolah menengah. Beliau telah menjanjikan masalah graduan Pengkhususan Sekolah Rendah yang masih ada di UPSI akan diselesaikan.

Selepas mendengar pengumuman beliau, pihak UPSI mengambil tindakan drastik dengan menghentikan pengambilan program Pengkhususan Sekolah Rendah setelah berbincang dengan pihak KPM. Bagaimanapun pelajar sedia ada dikekalkan, termasuk pengambilan sesi pertengahan tahun 2006, iaitu pengambilan terakhir yang kini sedang menjalani praktikum (latihan mengajar) di sekolah rendah.

Ini bermakna, Pengkhususan Sekolah Rendah telah diwujudkan lebih awal dan ia masih wujud sampai sekarang kerana program Pengkhususan Sekolah Rendah mengambil masa empat tahun pengajian di UPSI. Ini berbanding IPG yang hanya bermula pada tahun 2006 yang telah mengambil alih keseluruhan program Pengkhususan Sekolah Rendah dan mengeluarkan keluaran sendiri, iaitu KPLI, hanya untuk program setahun.

Justeru, sudah pasti kewujudan saki baki Pengkhususan Sekolah Rendah di UPSI tidak diketahui oleh pihak KPM sendiri, khususnya apabila telah menghasilkan produk sendiri iaitu KPLI, yang tamat pada November/Disember 2009, berjumlah 5,976 dan tahun-tahun sebelumnya untuk ditempatkan di sekolah rendah.

Untuk makluman, senarai 20 orang bakal guru yang dikesan mengalami masalah penempatan oleh Dr. Mohd. Puad adalah graduan yang bakal ditempatkan dan alhamdulillah kami dikhabarkan mereka telah mendapat penempatan baru-baru ini. Tahniah dan syabas kami ucapkan kepada beliau dan KPM kerana telah memberikan komitmen yang tinggi terhadap masalah ini.

Namun masih terdapat seramai 164 pelajar ambilan Disember 2005/2006 yang sudah menghabiskan empat tahun pengajian di UPSI dan bakal menduduki konvokesyen sekitar Mac ini, manakala seramai 40 orang lagi sedang menjalankan praktikum (latihan Mengajar) iaitu semester terakhir pengambilan Pengkhususan Sekolah Rendah di UPSI. Ini bermakna saki baki pelajar ini sudah pasti mengharapkan penempatan dan perhatian oleh KPM di masa akan datang.

Persoalannya di sini ialah, mengapa kewujudan program Pengkhususan Sekolah Rendah keluaran UPSI mahupun IPTA yang lain seakan tidak diketahui oleh pihak Kementerian Pelajaran sendiri, sedangkan pihak UPSI apabila dihubungi menyatakan senarai nama telah dihantar kepada pihak KPM.

Kami mengharapkan pihak UPSI, IPTA mahupun KPM sentiasa berunding dan mencapai kata sepakat demi kejayaan anak bangsa kelak, bertepatan dengan slogan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Diharap melalui luahan ini semua pihak mengetahui bahawa masih wujud Pengkhususan Sekolah Rendah ini di UPSI khususnya dan di IPTA lain umumnya.


Tanjung Malim, Perak

No comments: