19 January 2010

Akta LTN Bakal Dipinda, Nama Ditukar Kepada Lembaga Kenaf Dan Tembakau Negara

PASIR PUTEH, 19 Jan (Bernama) -- Lembaga Tembakau Negara (LTN) akan ditukar nama kepada Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara apabila Akta LTN 1973 dipinda selaras dengan perluasan peranan agensi itu.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Hamzah Zainudin berkata pindaan itu akan membolehkan antaranya penanam tembakau mengusahakan tanaman lain berasaskan sistem fertigasi.

"(Pindaan) akta akan dibentangkan tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen keselamatan penggunaan racun makhluk perosak dan penyampaian surat serah guna sistem fertigasi di Pusat Latihan LTN, di sini Selasa.

Cadangan pindaan akta itu telah diusulkan sejak tahun 2006 dalam usaha kerajaan menggalakkan penanam tembakau di negara ini mengusahakan tanaman lain bagi memastikan pulangan yang lebih tinggi kepada mereka, namun sehingga kini belum terlaksana.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata pihaknya juga merancang untuk memindahkan ibu pejabat LTN dari Kota Baharu, Kelantan ke Kuala Lumpur bagi memberi perkhidmatan yang lebih berkesan kepada penanam dan bekas penanam tembakau di seluruh negara.

Mengenai projek fertigasi, Hamzah berkata kementeriannya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi membantu 1,500 petani mengusahakan pelbagai tanaman termasuk cili sepanjang tahun ini.

-- BERNAMA

No comments: