02 October 2009

Kementerian Luar Masih Kurang Penjawat Awam Bukan Bumiputera - Lee

IPOH, 2 Okt (Bernama) -- Kementerian Luar menganjurkan pelbagai program dan ceramah mengenai kerjaya di kementerian itu dalam usaha menarik minat orang ramai menyertainya khususnya bukan Bumiputera, kata Timbalan Menterinya Datuk Lee Chee Leong.

Beliau berkata masalah kurang minat di kalangan kaum bukan Bumiputera untuk menyertai sektor awam telah menjejaskan usaha kementerian untuk merapatkan jurang komposisi kaum di kementerian itu.

"Masalah ini berpunca dari kurangnya maklumat mengenai kerjaya di kementerian ini dan mungkin kerana mereka tidak mengetahui cara untuk menyertai kami.

"Oleh itu, kita (kementerian) mengadakan siri ceramah dan berbagai-bagai program untuk menarik minat kaum belia dan pelajar sekolah mengenai kerjaya di kementerian ini," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Diplomasi Awam kementerian itu di sini Jumaat.

Lee berkata program itu bertujuan menyebarkan maklumat kepada orang ramai mengenai peluang kerjaya dengan kementerian itu yang memberi peluang kepada penjawat awam bertugas di luar negara.

Beliau berkata secara keseluruhannya progam berkenaan bertujuan meyakinkan orang awam untuk menyertai Wisma Putra dalam usahanya meningkatkan imej dan tanggapan yang baik mengenai negara di mata dunia.

"Kepada sesiapa yang berminat menyertai kami diminta melayari laman web di www.kln.gov.my untuk mendapatkan maklumat mengenai tempat dan masa temuduga terbuka diadakan,"katanya.

Selain kelulusan akademik, Lee berkata, calon yang fasih dalam bahasa Inggeris atau mana-mana bahasa lain mempunyai kelebihan untuk diterima menyertai kementerian yang mempunyai pejabat perwakilan di seluruh dunia.

Program Diplomasi Awam itu yang kedua dianjurkan selepas diadakan di Membakut, Sabah pada Ogos lalu yang bertujuan memberikan pemahaman lebih mendalam kepada orang ramai mengenai fungsi dan peranan Wisma Putra.

-- BERNAMA

No comments: