17 August 2009

Doktor Swasta Boleh Bertugas Dengan Kerajaan, Kata Ismail

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Doktor dan pakar perubatan swasta kini boleh berkhidmat di klinik dan hospital kerajaan secara sambilan dalam usaha kerajaan mengatasi masalah kekurangan doktor dalam perkhidmatan awam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican berkata mereka boleh berkhidmat secara kontrak, bermusim, sambilan dan menjalankan pembedahan elektif.

Doktor dan pakar perubatan swasta kini boleh berkhidmat dengan sektor perkhidmatan awam tanpa perlu berhenti kerja, katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat saintifik kali ke lapan Kementerian Kesihatan dan Akademi Perubatan Malaysia di Institut Pengurusan Kesihatan di sini, Isnin.

Menurut Dr Ismail doktor dan pakar perubatan swasta boleh bertugas mengikut kaedah bermusim iaitu minima dua jam dan tidak melebihi lapan jam sehari antara pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Kaedah sambilan pula ialah selepas waktu pejabat dari 5 petang hingga 12 malam pada hari biasa dan dari 8 pagi hingga 12 malam pada hari minggu dan kelepasan am, katanya.

Katanya pembedahan elektif pula hanya bertugas pada hari Sabtu sahaja.

"Tawaran seperti ini pernah dibuka sebelum ini tetapi kurang mendapat sambutan kerana pelbagai masalah termasuk gaji, terpaksa menunggu lama untuk kepastian dan tidak mendapat layanan yang baik," jelasnya.

Dr Ismail memberi jaminan bahawa masalah seperti itu tidak timbul lagi berikutan tawaran gaji yang menarik dan keputusan permohonan akan diketahui dalam masa dua minggu

Katanya melalui tawaran terbuka itu, kementerian berharap untuk menarik 25,000 pegawai perubatan dan pakar dalam pelbagai bidang dari sektor swasta untuk berkhidmat di klinik dan hospital kerajaan bagi memenuhi kekurangan 50,000 doktor ketika ini.

Katanya, bagi menjayakan matlamat tersebut, kementerian akan bekerjasama dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) serta berunding dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Dr Ismail berkata, tawaran tersebut dibuka sepanjang masa dan borang mengenainya boleh diperolehi dengan dimuat turun daipada laman web kementerian http://www.moh.gov.my.

- - BERNAMA

No comments: