108 pengetua tidak diturunkan pangkat
Berita Harian
KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk surat Setiausaha Agung Kongres, Mohamad Ismail, dalam ruangan ini, 19 Ogos bertajuk, 'Usah turun pangkat 108 pengetua Gred DG52'.
Untuk makluman, Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP) menetapkan bahawa urusan pemangkuan sesuatu jawatan kenaikan pangkat hendaklah diisi calon yang diluluskan pemangkuan oleh LKPPP saja. Perkara ini dibuat sedemikian, bagi menentukan wujudnya kesaksamaan, keadilan dan tidak ada elemen pilih kasih dalam sesuatu urusan pemangkuan ke gred kenaikan pangkat.
Bagaimanapun, didapati 108 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) yang belum diluluskan pemangkuan oleh LKPPP untuk memangku sesuatu jawatan yang lebih tinggi daripada gred jawatan hakiki masing-masing sudah ditempatkan ke jawatan kenaikan pangkat berkenaan secara pentadbiran oleh pihak tertentu. Mereka yang terbabit adalah terdiri daripada 11 PPPS di kementerian/IPGM, empat PPPS di Jabatan Pelajaran Negeri, tujuh PPPS di Pejabat Pelajaran Daerah dan bakinya seramai 86 adalah Pengetua Sekolah Menengah.
Apabila keadaan ini berlaku, ia menutup peluang calon yang diluluskan pemangkuan oleh LKPPP untuk memangku jawatan kenaikan pangkat kerana jawatan itu diisi pegawai lain yang belum layak dan belum lagi diluluskan pemangkuan oleh LKPPP.
Keadaan ini menyebabkan mereka yang diluluskan pemangkuan ke gred kenaikan pangkat mencemuh Kementerian Pelajaran bahawa urusan pemangkuan adalah tidak adil, tidak telus dan memberi keutamaan kepada kronisme. Sebagai contoh, 35 daripada 55 orang PPPS gred DG52 tidak boleh memangku jawatan DG54 kerana jawatan itu diisi oleh calon yang belum diluluskan pemangkuan oleh LKPPP.
Selain itu, 466 daripada 781 orang PPPS Gred DG48 tidak dapat memangku jawatan Gred DG52 kerana jawatan itu juga diisi calon yang belum diluluskan pemangkuan oleh LKPPP. Malahan, ada 2,570 daripada 3,413 PPPS DG44 yang diluluskan pemangkuan ke Gred DG48 tidak dapat memangku Gred DG48 kerana jawatan itu diisi calon yang tidak diluluskan pemangkuan oleh LKPPP.
Khusus untuk memperbetulkan kepincangan itu, satu kertas kerja dibentangkan di Mesyuarat Pengurusan kementerian Bil. 9/2009 pada 24 Jun 2009 dan dipertimbangkan perkara itu dengan terperinci serta memutuskan supaya 108 orang pegawai yang tidak layak menduduki jawatan kenaikan pangkat kerana belum lagi dipertimbang dan diluluskan pemangkuan ke jawatan kenaikan pangkat oleh LKPPP itu ditempatkan kembali ke jawatan yang setara dengan gred hakiki masing-masing.
Tindakan ini sama sekali tidak bermaksud untuk menurunkan pangkat mereka. Apa yang berlaku ialah mereka ditempatkan semula ke jawatan setara dengan gred jawatan hakiki masing-masing. Selain daripada itu, kementerian tidak boleh dan tidak pernah membayar elaun memangku jawatan kenaikan pangkat kepada mereka berkenaan kerana mereka belum lagi diluluskan pemangkuan oleh LKPPP.
Justeru itu, penempatan semula mereka ke jawatan yang setara dengan gred hakiki masing-masing tidak akan membabitkan apa-apa kerugian kewangan kerana pada asasnya kementerian tidak boleh membayar apa-apa elaun memangku kepada mereka. Dengan cara ini, barulah ia dapat memberi laluan kepada pegawai-pegawai yang telahpun dilu-luskan pemangkuan oleh LKPPP untuk memangku jawatan kenaikan pangkat berkenaan dan seterusnya menikmati pertambahan elaun kerana dibayar elaun memangku gred kenaikan pangkat oleh KPM.
Dimaklumkan juga, hanya Lembaga Tatatertib PPPS di Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) yang berkuasa untuk memutuskan sama ada seseorang PPPS yang diambil prosiding tatatertib itu diturunkan pangkat atau dibuang kerja apabila terbukti bersalah. Dalam konteks ini, semua 108 PPPS itu tidak menghadapi apa-apa prosiding tatatertib. Justeru itu, isu yang mengatakan bahawa mereka diturunkan pangkat adalah tidak tepat dan mengelirukan sama sekali.
Dengan penjelasan di atas, tidak timbul sama sekali isu 108 PPPS termasuk pengetua diturunkan pangkat mereka. Mereka hanyalah ditempatkan semula di jawatan yang setara dengan gred hakiki masing-masing. Kekosongan jawatan kenaikan pangkat yang ditinggalkan itu akan diisi oleh mereka yang layak dan diluluskan pemangkuan oleh LKPPP. Oleh itu, kenyataan bahawa ini adalah 'serangan' oleh Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) terhadap warga pendidik dengan cuba merendahkan sumbangan guru adalah tidak tepat dan tidak berasas sama sekali. Pelaksanaan ini dipersetujui Ketua Pengarah Pelajaran serta ketiga-tiga Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran.
Kementerian ingin menegaskan bahawa adalah tidak wajar memberi anggapan yang mengandungi maklumat kurang tepat sehingga boleh menjejaskan imej dan kredibiliti baik kementerian ini pada kaca mata Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) khususnya dan kepada masyarakat umum amnya sebelum tindakan difahami dengan betul.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran.
No comments:
Post a Comment