05 July 2009

KSU Kementerian Wilayah Persekutuan Dilantik Pengerusi Perbadanan Labuan

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Ahmad Phesal Talib, dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan yang baru untuk tempoh setahun berkuatkuasa 1 Jun 2009, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Jumaat.

Beliau menggantikan Datuk Suhaili Abdul Rahman yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 31 Mei lepas.

Ahmad Phesal, 54, yang dilahirkan di Kota Sarang Semut, Kedah, mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan awam sebagai pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik selama lebih 32 tahun.

Beiau pernah menjadi Setiausaha Perbandaran Labuan (1991-1996), Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang (2001-2003), Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (2003-2006), Timbalan Ketua Pengarah (Pemantauan dan Penilaian), Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (2006-2007) sebelum dilantik Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan sejak Januari 2007.

"Berdasarkan pengalaman dan ketokohan beliau, kementerian menaruh harapan agar beliau dapat meneruskan aspirasi dan agenda kecemerlangan pengurusan pentadbiran Perbadanan Labuan sebagai pihak berkuasa tempatan yang responsif, prihatin, cekap dan mesra rakyat," kata Raja Nong Chik.

-- BERNAMA

No comments: