09 July 2009

Standard khidmat pegawai JKM tidak memuaskan

Utusan Online

HULU SELANGOR 8 Julai - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak berpuas hati dengan standard perkhidmatan pegawai Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) yang mengendalikan penjagaan orang kurang upaya (OKU) di negara ini.

Menterinya, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, sehubungan itu, satu jawatankuasa yang akan dipengerusikan oleh beliau akan dibentuk dalam tempoh terdekat dalam usaha meningkatkan standard perkhidmatan pegawai JKM.

Katanya, jawatankuasa itu antara lain akan turut dianggotai pakar perubatan, pakar terapi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan tujuan mengenal pasti kaedah terbaik dalam penjagaan OKU termasuk penggunaan teknologi canggih, perubatan serta latihan.

"Saya agak kecewa dengan standard perkhidmatan yang ditunjukkan oleh pegawai JKM walaupun saya tahu mereka bekerja keras untuk menjaga golongan OKU dengan sebaik mungkin.

"Bagaimanapun pada masa yang sama, pegawai JKM juga perlu mempelajari kaedah-kaedah baru bagi meningkatkan standard perkhidmatan mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Taman Sinar Harapan (TSH) Kuala Kubu Baru di sini semalam.

Ahad lalu, sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan melaporkan sesetengah penghuni TSH Kuala Kubu Baru didapati tinggal dalam keadaan tidak terurus dan dirantai serta dikurung dalam bilik mereka.

Akhbar itu juga melaporkan bahawa kira-kira 30 penghuni lelaki TSH berkenaan dibiarkan tanpa pakaian dengan badan diselaputi najis dan air kencing.

Menurut Shahrizat, kaedah penjagaan OKU yang lebih berkesan dan perubahan sikap masyarakat terhadap golongan tersebut dilihat lebih penting berbanding langkah meningkat jumlah pegawai JKM.

Tambahnya, beliau melihat laporan akhbar berbahasa Inggeris berkenaan dari sudut yang positif dan tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak dalam hal tersebut.

"Saya sudah lama mengetahui standard penjagaan pegawai-pegawai JKM yang sedia ada. Mereka hanya dilatih untuk melakukan penjagaan asas seperti memberi makan dan memandikan OKU.

"Pegawai-pegawai berkenaan hanyalah manusia biasa, mereka bukan doktor dan tiada kebolehan dalam bidang terapi. Namun mereka melayan penghuni rumah kebajikan sama seperti saudara terdekat mereka," katanya.

Shahrizat berkata, beliau juga tidak berhasrat untuk mempersoalkan sikap lepas tangan ahli-ahli keluarga dan masyarakat setempat dalam soal penjagaan OKU.

Selain itu, beliau mengesa Majlis Peguam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) untuk bersama menubuhkan satu jawatankuasa khas supaya ahli-ahlinya dapat menjadi sukarelawan di TSH, Kuala Kubu Baru

TSH Kuala Kubu Baru yang ditubuhkan pada Disember 1983 adalah satu daripada tujuh institusi di bawah JKM yang memberi tempat perlindungan, penjagaan, pemulihan dan latihan untuk OKU.

TSH tersebut juga adalah satu-satunya TSH di negara ini yang menguruskan penjagaan OKU berusia lebih daripada 15 tahun yang mengalami sakit mental teruk dan sukar dirawati.

Institusi tersebut mempunyai 115 kakitangan dengan bilangan penghuni sebanyak 232 termasuk 107 penghuni adalah lelaki dan 125 penghuni perempuan.

No comments: