Jawatan Hakim Mahkamah Tinggi diiklan
Berita Harian
Pengalaman lebih 25 tahun diberi keutamaan, gaji bulanan RM17, 754 dan elaun RM16,000
KUALA LUMPUR: Buat kali pertama dalam sejarah badan kehakiman negara, kekosongan jawatan Hakim Mahkamah Tinggi diiklankan melalui media untuk diisi mereka berkelayakan.
Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) meminta mereka berkelayakan termasuk peguam yang mempunyai pengalaman luas, hadir untuk ditemuduga bagi membolehkan mereka ditawarkan ke jawatan itu.
Setiausaha suruhanjaya itu, Hamidah Khalid, berkata SPK mempelawa mereka yang berkelayakan seperti ditetapkan Perkara 123 Perlembagaan Persekutuan untuk memohon jawatan Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, Sabah dan Sarawak, bermula sekarang hingga 31 Julai ini.
Mengikut Perkara 123 Perlembagaan Persekutuan, mereka yang layak untuk menjadi Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Rayuan atau Hakim Mahkamah Persekutuan adalah warga negara Malaysia dan sudah menjadi seorang peguam bela dan peguam cara bagi tempoh 10 tahun sebelum pelantikannya, atau dia menganggotai perkhidmatan kehakiman serta perundangan Persekutuan atau sesebuah negeri.
"Pengamal undang-undang mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam bidang litigasi akan diberi keutamaan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Mengikut laman web www.kehakiman.gov.my, calon yang ditawarkan jawatan Hakim Mahkamah Tinggi akan memperoleh gaji bulanan RM17,754.76 dan elaun sebanyak RM16,000.
Mereka yang berminat boleh menghantar permohonan mereka kepada SPK, Aras 5, Blok Utara, Istana Kehakiman Presint 3, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.
Calon akan dinilai berdasarkan merit dalam lima aspek iaitu keupayaan intelek, kewibawaan, perwatakan (merangkumi integriti, kebebasan, penghakiman, membuat keputusan, bersikap objektif, berkebolehan dan keinginan untuk belajar), berupaya memahami dan bertindak adil serta tegas, selain berkemahiran berkomunikasi dan cekap.
SPK yang ditubuhkan pada 11 Februari lalu diberi kuasa untuk mengiklankan kekosongan, menerima permohonan, menemuduga, memilih dan membuat cadangan tetapi hanya berasaskan merit dan perwatakan calon yang dipertimbangkan.
SPK diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi, sebagai pengerusinya dan dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ariffin Zakaria; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin.
Turut menjadi anggota ialah bekas Peguam Negara wanita pertama, Datuk Seri Ainum Mohd Saaid; bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad; bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong dan bekas Hakim Mahkamah Tinggi yang juga bekas Hakim Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi bekas Yugoslavia, Tan Sri L C Vohrah.
Keanggotaan mereka ialah bagi dua tahun sehingga 9 Februari 2011.
No comments:
Post a Comment