28 June 2009

Shaziman Terharu Dengan Keadaan Kuarters JKR

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Keadaan kuarters yang didiami pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) di Jalan Cheras di sini didapati berada dalam keadaan yang menyedihkan.

Inilah yang dilihat oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Mansor semasa meninjau keadaan kuarters tersebut selama 45 minit hari ini.

Beliau melihat sendiri bagaimana cermin kaca tingkap yang hilang, dinding dan pintu yang terkopak serta ruang kuarters ala rumah panjang itu yang sempit yang dipadati dengan perabot.

Lalang di halaman rumah juga didapati tumbuh meliar, kabel telefon berbelit-belit, longkang yang tersumbat dan berbau busuk.

"Saya telah melihat lalang yang tinggi, sampah sarap bertaburan dan longkang tersumbat. Persekitarannya tidak sihat. Oleh itu saya mahu semua perkara ini ditangani segera dan kebajikan pekerja-pekerja ini dijaga.

"Pekerja ini penting. Kalau hati mereka tidak ceria, selalu bimbang, prestasi kerja mereka juga akan terjejas," katanya kepada pemberita selepas melawat persekitaran kuarters itu.

Shaziman turut berbual-bual dan mendengar masalah yang dihadapi penghuni kuarters.

Mereka berkata rungutan mereka selama ini tida diendahkan oleh JKR.

Seorang penghuni kedengaran memberitahu Shaziman berkenaan kes kecurian yang berlaku di samping kehadiran ular di situ.

Shaziman berkata beliau telah mengarahkan Pengarah JKR Kuala Lumpur, Adnan Shukri Musa untuk mengambil langkah segera membersih dan memperbaiki keadaan kawasan berkenaan.

Kuarters sebanyak 94 unit tersebut didirikan sekitar awal 1950-an dan kini dihuni 50 keluarga.

Pada tahun 2006, terdapat cadangan utuk membangunkan kawasan tersebut dengan kuarters JKR bertingkat yang moden bernilai RM18 juta, tetapi cadangan itu senyap begitu sahaja.

"Saya nak bincang semula semua projek yang ada di bawah kementerian, projek mana patut diberi keutamaan. Dan saya percaya isu kuarters ini juga perlu diberi perhatian wajar," katanya apabila ditanya mengenai kedudukan projek berkenaan.

-- BERNAMA

No comments: