28 June 2009

Wisma Putra Buka Pejabat Cawangan Di Sabah, Sarawak

KOTA KINABALU, 27 Jun (Bernama) -- Wisma Putra akan membuka dua pejabat cawangannya di Sabah dan Sarawak bagi menyediakan khidmat konsul.

Ketika mengumumkan perkara itu hari ini, Menteri Luar Datuk Anifah Aman berkata pejabat di Kota Kinabalu serta Kuching diwujudkan bagi kemudahan penduduk Sabah dan Sarawak yang pada masa ini terpaksa melakukan perjalanan ke Semenanjung Malaysia untuk mendapatkan khidmat Wisma Putra.

Katanya, beliau telah pun memaklumkan kepada kedua-dua Ketua Menteri (Sabah dan Sarawak) mengenai rancangan untuk membuka pejabat cawangan itu dan kedua-dua pemimpin itu gembira dengan perkembangan berkenaan.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menganjurkan jamuan tengah hari bagi raikan 105 diplomat Malaysia yang menghadiri Persidangan Ketua-ketua Perwakilan yang bermula di Kuala Lumpur pada 18 Jun dan berakhir di Kota Kinabalu semalam.

Anifah berkata pejabat cawangan itu akan menghulurkan bantuan kepada pejabat protokol yang berkenaan dalam perkara berkaitan lawatan kenamaan asing ke kedua-dua negeri itu.

Beliau berkata ruang pejabat yang bersesuaian telah pun dikenal pasti untuk penubuhan pejabat cawangan di kedua-dua ibu negeri itu dan di Sabah, pertimbangan dibuat bagi menempatkannya di pejabat pentadbiran persekutuan di Likas.

Kepada soalan mengenai tarikh pelantikan duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Anifah berkata kerajaan menjangkakan Washington memberi kelulusan dalam masa tiga hingga empat minggu lagi.

Ditanya sama ada ketiadaan seorang duta menjadi penghalang kepada hubungan dua hala, terutamanya dalam rundingan kedua-dua negara untuk menyerahkan kembali dua rakyat Malaysia yang ditahan di Teluk Guantanamo, Anifah berkata ia bukan satu masalah memandangkan perkara itu telah pun dibincangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Barack Obama.

"Saya fikir jika mereka (Amerika Syarikat) menyelesaikan perkara itu, mereka akan memaklumkan kepada kita. Kita akan berhubungan dengan Jabatan Negara (AS) untuk melihat kemajuannya," katanya sambil menambah Malaysia bersedia menerima kedua-dua tahanan itu, dan jika perlu, akan mengadakan siasatan lanjut, atas apa jua dakwaan yang dikenakan.

-- BERNAMA

No comments: