28 June 2009

Murugiah Dan Pegawai MAMPU Akan Periksa Perkhidmatan Kaunter Jabatan Kerajaan

SHAH ALAM, 28 Jun (Bernama) -- Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T.Murugiah hari ini berkata beliau bersama 30 pegawai Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) akan "turun padang" ke seluruh negara dalam masa terdekat bagi memeriksa dan menilai perkhidmatan kaunter agensi dan jabatan kerajaan.

Beliau berkata pemeriksaan ini dilakukan bagi memastikan tahap perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai oleh pekerja-pekerja kaunter seperti di hospital-hospital adalah bermutu dan memudahkan rakyat dalam berurusan dengan jentera kerajaan.

Murugiah berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kelapan Persatuan Pencegahan Jenayah Malaysia (PPJM) di sini hari ini.

Selain daripada perkhidmatan kaunter, khidmat talian bantuan yang diberikan oleh jabatan dan agensi kerajaan juga akan dinilai bagi memastikan konsep "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" tercapai.

Pada masa yang sama, beliau meminta PPJM supaya memainkan peranan lebih aktif dalam membantu Polis DiRaja Malaysia (PDRM) membanteras jenayah dengan memberi bantuan maklumat mengenai kegiatan jenayah kepada pasukan itu.

Katanya anggota persatuan itu juga boleh pergi ke sekolah-sekolah dan memberikan kaunseling kepada para-para pelajar yang mempunyai masalah disiplin ataupun terlibat dengan kegiatan gangsterisme yang semakin membimbangkan.

Beliau juga berkata alasan bahawa tiada pekerjaan disediakan kepada mereka yang menganggur tidak dapat diterima kerana di Malaysia masih lagi ada pekerjaan hinggakan warga asing sanggup "bergolok gadai" untuk datang ke Malaysia mencari sesuap nasi.

Mengenai perpaduan di Malaysia, Murugiah berkata satu cara untuk kaum-kaum di negara ini mengenali budaya dan agama kaum lain ialah dengan menggalakkan program anak angkat.

Melalui program itu yang diadakan pada masa cuti sekolah, murid Cina duduk seminggu di rumah keluarga angkat India atau Melayu dan begitu juga sebaliknya.

Dengan cara itu, generasi muda akan lebih memahami antara satu sama lain dan mengikis prejudis dan prasangka yang bertapak di dalam hati mereka, katanya.

-- BERNAMA

No comments: