15 May 2009

K'jaan Akan Tawar Gaji Kompetetif, Kata KSN

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Kerajaan akan menawarkan jawatan dan gaji yang kompetetif untuk menjadikan perkhidmatan awam sebagai kerjaya pilihan pertama, kata Ketua Setiausa Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Katanya kerajaan akan mewujudkan satu skim gaji dan jawatan yang menarik kepada pemohon yang berminat mengisi jawatan di perkhidmatan awam berdasarkan pengalaman kerja dan kelayakan akademik.

"Sebagai contoh, sekiranya pemohon mempunyai pengalaman selama 10 tahun di sektor swasta dan berminat untuk berkerja di sektor awam, beliau tidak perlu bermula dari peringkat bawah dan akan ditawarkan gaji yang setimpal dengan pengalaman," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rancangan Dialog di Radio Televisyen Malaysia, Angkasapuri di sini malam ini.

Beliau turut meminta penjawat awam supaya sentiasa melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa dalam pelaksanaan tugas bagi memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan dan pada masa yang sama memelihara integriti kerajaan.

"Kerajaan akan memberi kenaikan gaji dan kenaikan pangkat kepada penjawat awam yang menghasilkan prestasi yang membanggakan tak kira sama ada mereka tergolong dalam jawatan rendah atau tinggi," katanya.

Mohd Sidek juga meminta orang ramai memberi cadangan yang boleh menambah baik perkhidmatan sektor awam, yang seringkali dipandang negatif sebelum ini kerana pelbagai masalah.



-- BERNAMA

1 comment:

Anonymous said...

bagaimana kami yg memang dah masuk kerajaan,,sudah tentu yg baru masuk nanti gaji akan lebih tinggi sedangkan sewaktu kami masuk kerja kerajaan dahulu pengalaman tidak diambil kira