20 January 2009

Pegawai Kerajaan Persekutuan dilarang hadir mesyuarat negeri

mstar

IPOH: Semua pengarah jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan dilarang daripada menghadiri mesyuarat-mesyuarat di peringkat negeri berkuat kuasa serta-merta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hanya pengarah agensi peringkat negeri yang dibenarkan menghadiri mesyuarat negeri, yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri atau pegawai daerah.

"Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin terhadap pengarah agensi Persekutuan jika mereka menghadiri mesyuarat tersebut," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Negeri di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang merupakan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri bagaimanapun berkata, agensi-agensi seperti Jabatan Pengarain dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pertanian dan polis dikecualikan daripada larangan itu.

Ahmad Zahid berkata, berkuat kuasa serta-merta juga, agensi-agensi persekutuan hanya akan menerima syor yang dikemukakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).

"Jabatan-jabatan dan agensi-agensi persekutuan telah diarahkan supaya hanya menerima borang-borang yang ditandatangani JKKKP," katanya.

Disebabkan Kerajaan Persekutuan hanya mengiktiraf JKKKP, semua syor yang dibuat JKKKP adalah syor yang sah.

"Kita tidak mengiktiraf syor-syor yang dibuat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)," katanya.

Berhubung permohonan biasiswa, Ahmad Zahid berkata, kemasukan ke institusi pengajian tinggi juga memerlukan syor JKKKP.

Ahmad Zahid juga memberitahu, 28 wakil Barisan Nasional yang dipilih di peringkat negeri akan diberikan peruntukan khas untuk membantu masyarakat di kawasan mereka.

"Peruntukan itu akan diberikan jika berlaku insiden-insiden termasuk kebakaran, banjir atau ribut petir di kawasan mereka," katanya yang enggan menyatakan jumlah peruntukan bagi setiap kawasan.

No comments: