21 January 2009

Opsyen Semula Skim KWSP Ke Pencen Tamat 31 Jan

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini mengingatkan kakitangan awam yang sebelum ini memilih skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) agar membuat opsyen semula sama ada ingin kekal di bawah skim yang sama atau memilih skim pencen kerana tempoh untuk membuat opsyen itu akan berakhir 31 Jan ini.

Mana-mana kakitangan awam yang tidak membuat opsyen semula sebelum tarikh tersebut, atau tidak menyerahkan Borang Opsyen Semula sebelum tarikh itu, atau yang membuat opsyen dengan bantahan atau syarat tambahan, akan disifatkan sebagai di bawah skim KWSP, kata JPA dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut JPA, garis panduan mengenai opsyen itu telah disediakan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 19 Tahun 2008 (Tawaran Opsyen Semula Kepada Anggota Yang Telah Memilih Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2009 (Tawaran Opsyen Semula Kepada Pekerja Pihak Berkuasa Berkanun Dan Tempatan).

Untuk penjelasan dan sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh merujuk hotline Bahagian Pasca Perkhidmatan di talian 03-8885 4906 atau melayari laman web www.jpapencen.gov.my.

-- BERNAMA

No comments: