21 January 2009

Ketua jabatan akan terima padah

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengambil tindakan terhadap ketua jabatan dan agensi kerajaan yang gagal melaksanakan tanggungjawab mereka untuk memastikan semua kakitangannya bebas daripada kegiatan skim cepat kaya.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, berkata tindakan tegas itu seiring Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 yang melarang kakitangan awam terbabit dalam skim cepat kaya yang dikeluarkan dan berkuat kuasa seminggu lalu.

"Kini tanggungjawab terletak pada ketua jabatan dan agensi kerajaan untuk sentiasa memantau perkembangan di pejabat masing-masing, jika tidak tindakan setimpal akan dikenakan terutama jika masih ada kakitangan awam yang terbabit dalam kegiatan skim cepat kaya berhadapan masalah hingga menjejaskan kerja.

"Tindakan terhadap ketua jabatan akan dilaksanakan mengikut tahap kesalahan yang dilakukan bagi membuktikan bahawa kerajaan serius dalam hal ini kerana jika dibiarkan berlarutan ia boleh memburukkan imej kerajaan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Minggu lalu, kerajaan melarang pembabitan kakitangan awam dalam skim cepat kaya, sama ada sebagai penganjur, pengantara atau pelabur selepas mendapati kegiatan itu menjejaskan imej perkhidmatan awam.

Larangan itu menyebut semua kakitangan awam dikehendaki menghentikan pembabitan serta-merta dan mereka yang dikesan terbabit dalam kegiatan itu akan dikenakan tindakan tatatertib mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 atau peraturan lain yang berkuat kuasa.

Ismail berkata, setakat ini belum ada ketua jabatan atau kakitangan awam yang dikenakan tindakan kerana terbabit dalam kegiatan skim cepat kaya, bagaimanapun ia tidak bermakna kerajaan tidak menjalankan pemeriksaan.

No comments: