26 May 2008

Lagi doktor kerajaan terkilan imbuhan rendah

Utusan Online

SAYA merupakan seorang pegawai perubatan yang baru berkhidmat di Malaysia selama setahun. Sebelum ini saya telah berkhidmat dengan Kerajaan Ireland selama dua tahun.

Memang perkara pertama yang saya rasakan semenjak bekerja di sini ialah kami tidak dihargai oleh kerajaan.

Percayalah, saya amat memahami apa yang dirasai oleh Doktor Terkilan dalam ruangan Forum, Khamis lalu. Saya lagi terkilan.

Bukan hendak berbohong tetapi motivasi kewangan amat berkesan sebagai pendorong kami bekerja yang mengatasi pekerjaan orang orang yang normal.

Bayangkan kami bekerja tidak berhenti selama lebih kurang 34 jam. Sekurang-kurangnya tiga kali seminggu, itu tidak termasuk di waktu hujung minggu. Kami layak untuk dihargai dengan imbuhan/gaji yang berbaloi.

Hendak membandingkan dengan kerajaan Ireland. Apabila kami bekerja pada hujung minggu, bayaran kami digandakan dua kali - contohnya: Sejam kami dibayar lebih kurang 20 euro jikalau cuti umum - kami dibayar tiga kali ganda sejam. Maka tidaklah kami terasa begitu terkilan sekiranya kami bekerja hujung minggu ataupun pada Hari Raya.

Apakah nilai cuti hujung minggu atau cuti Hari Raya contohnya mendapat hanya 20 ringgit? (150 hari biasa/170 hari hujung minggu dan cuti awam).

Kepada pesakit di luar sana, janganlah terkilan sekiranya kami bersikap acuh tak acuh ketika merawat anda. Fahamilah yang kami kepenatan dan terkilan dengan hak kami yang diberi keadilan.

Jika anda benar-benar inginkan perkhidmatan yang betul-betul mesra, pergilah ke hospital swasta. Doktor di sana baik-baik kerana mereka bahagia dengan suasana pekerjaan yang begitu selesa di samping gaji yang lumayan.

Kami doktor muda, memang tidak sabar-sabar hendak lari ke swasta (atau kembali ke luar negara) sekiranya kami terus dilayan bagai orang yang tidak berhak meminta dan bersuara.

LAGI TERKILAN
Kuala Lumpur

1 comment:

Anonymous said...

jika anda terkilan dengan nasib anda, kami rakyat yang menerima perkhidmatan dari anda lebih terkilan dengan sikap seorang doktor yang hanya mementingkan wang dari nyawa pesakit. anda lebih beruntung jika hendak dibandingkan dengan perkhidmatan profesional yang lain. sekurang-kurangnya anda patut bersyukur kerana diberi peluang untuk membuat kerja lebih masa berbanding dengan kami di sektor lain yang tidak berpeluang berbuat demikian dan hanya bergantung dengan gaji bulanan yang diterima setiap bulan. anda juga patut bersyukur diberikan berbagai-bagai jenis elaun berbanding kami yang terdedah dengan risiko penyakit bawaan haiwan tetapi apabila ditanya mengenai elaun kritikal pun dijawab masih dalam pertimbangan.